Usah keruhkan lagi kemelut politik – GU

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kemelut politik yang melanda negara ketika ini berbahaya untuk kelangsungan politik Islam pada masa akan datang, kata Presiden Geng Ustaz Malaysia, Ustaz Kamalulhysham @ Farhan Mohd Suhut.

Menurutnya, percaturan politik ketika rakyat sedang melalui ‘ujian besar’ tidak tepat pada masanya dan mengeruhkan lagi landskap politik di negara ini.

- Advertisement -

“Kami sangat kecewa dengan tindakan politikus-politikus yang mengeruhkan senario politik Malaysia dalam pasca Covid-19 pada hari ini.

“Lebih rasa kecewa lagi bila kita lihat parti-parti umat Islam berpecah dan tidak bersatu, dengan nafsu yang kita sebut sebagai nafsu politik yang mana akhirnya membebankan rakyat jelata.

“Tidak mustahil suatu hari nanti Pakatan Harapan akan memerintah semula akibat daripada kepincangan urusan politik dan perpaduan umat Islam di Malaysia ini,” ujarnya ketika dihubungi HarakahDaily, hari ini.

Beliau yang juga merupakan Penyelaras Khidmat Malaysia Gombak berpendirian bahawa pihaknya merasa amat bertanggungjawab dan mengharapkan supaya perpaduan umat Islam ini tidak berpecah dalam menghadapi politik ataupun Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 yang akan datang.

Kebelakangan ini, hubungan di antara Umno dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menerajui kerajaan Perikatan Nasional (PN) dilihat semakin longgar susulan kenyataan dibuat beberapa pemimpin kedua-dua parti, terutama desakan Umno supaya PRU15 diadakan segera.

Turut mencetuskan konflik adalah dakwaan berlaku perebutan dan pembelian ahli serta isu pengagihan kerusi pilihan raya.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Machang, Dato Ahmad Jazlan mengumumkan melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) berkuat kuasa semalam.

Terbaharu, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa telah dipecat oleh Presidennya, Dato’ Sri Ahmad Zahid Hamidi berikutan kecenderungan Annuar kepada Bersatu iaitu parti yang ditolak akar umbi Umno.

Dalam pada itu, Annuar turut mendedahkan kepada media terdapat sokongan hitam putih kepada Ketua Pembangkang, Dato’ Sri Anwar Ibrahim untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dianggotai BN.

Sementara itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin juga dilaporkan bersedia melepaskan jawatannya dalam kabinet sekiranya diarahkan Umno kerana terikat dengan keputusan parti tersebut. – HARAKAHDAILY 7/1/2021

- Advertisement -