Tidak semua pengayuh basikal abai keselamatan

- Advertisement -

JANGAN ‘sebab nila setitik, rosak susu sebelanga’. Itulah luahan beberapa orang pengayuh basikal tegar yang terkena tempias gara-gara tindakan kurang sopan segelintir pengayuh yang tidak menjaga aspek keselamatan dan mencetuskan kemarahan masyarakat.

Mereka menganggap sikap kelompok itu mencalar imej pengayuh basikal yang sejak sekian lama memperjuangkan hak pengayuh agar pihak berkuasa meningkatkan kemudahan untuk pengayuh basikal di negara ini.

Bagaimanapun, menuding jari menyalahkan pengayuh basikal juga adalah cerminan sikap pengguna jalan raya yang lain.

- Advertisement -

Tidak dapat dinafikan, sesetengah kelakuan pengayuh basikal telah mencetuskan kemarahan, bahaya dan ketidakselesaan, namun masyarakat juga perlu faham bahawa tidak banyak tempat sesuai untuk aktiviti sihat ini mahupun kesedaran di kalangan pengayuh tentang aspek keselamatan dan isyarat tangan yang asas.

Pengguna jalan raya yang lain seperti pemandu kereta serta penunggang motosikal sepatutnya lebih prihatin dengan komuniti berbasikal.

Ini memandangkan mereka senang terdedah kepada bahaya dalam melakukan aktiviti riadah ini dan dalam masa yang sama, pengayuh basikal juga janganlah bermaharajalela di jalan raya tanpa mempedulikan pengguna jalan raya yang lain.
 
Kenal pasti kategori
 
Ada beberapa kategori pengayuh basikal iaitu kumpulan veteran terdiri daripada mereka yang sudah berbasikal lebih 10 tahun dan kategori beriadah yang sering berkayuh secara selamat di taman atau kawasan perumahan. Namun, yang menjadi perbualan hangat adalah kategori newbies iaitu kumpulan yang bagai cendawan tumbuh selepas hujan.

Kewujudan mereka semakin dirasai sejak awal tahun ini ekoran penularan COVID-19 yang menghalang pergerakan masyarakat untuk melakukan aktiviti lain seperti melancong.

Golongan ini membeli basikal serta berpusu-pusu keluar ke jalan raya tanpa mempelajari peraturan asas iaitu isyarat tangan mahupun aspek keselamatan lain seperti keperluan lampu dan loceng.

Pengayuh Nazahiyah Mohd Hadzir, 35 tahun berkata, sikap secalit pengayuh yang baru acah tegar, pentingkan diri dan tidak beretika menyebabkan aktiviti riadah sihat ini dikecam dan ianya memberi tempias negatif kepada pengayuh basikal lain.

“Yang buat hal ini kebanyakannya pengayuh basikal yang baru sertai aktiviti berbasikal. Mereka ini kayuh basikal sebab trend, bukannya sebab minat sejati.

“Memang benar Malaysia kurang lokasi sesuai untuk aktiviti berbasikal tetapi pengayuh kena pandai merancang dan berkayuh dengan cara selamat,” katanya yang mula berkayuh sejak tahun 2011 sebagai hobi.

Nazahiyah mempunyai nasihat untuk pengayuh yang lain iaitu menjadikan keselamatan sebagai keutamaan ketika melakukan aktiviti itu.

“Menggunakan basikal mahal bukan alasan untuk bermegah di jalan raya tetapi harus ingat, jalan raya itu ada pengguna yang lain.

“Pengguna jalan raya yang lain untuk hormat dan faham aktiviti serta fasiliti yang disediakan kurang lengkap sebelum menuding jari kepada penunggang basikal, contohnya kawasan laluan basikal perlu dihormati dengan tidak menghalang laluan basikal dengan meletakkan kenderaan yang menghalang perjalanan pengayuh,” katanya.
 
Hak bersama
 

Seorang lagi pengayuh, Arif Billah, 35 tahun, yang sudah lebih 12 tahun aktif dalam sukan berbasikal, berkata adalah lumrah untuk mengecam individu yang tidak bertanggungjawab dan bertindak salah namun pengguna jalan raya yang lain juga harus faham bahawa pengunaan jalan raya adalah hak bersama.

“Jangan fikir hanya kenderaan motor sahaja yang layak, apatah lagi fasiliti dan keadaan jalan raya di Malaysia tidak mesra pengguna basikal. Jika ingin Malaysia menjadi negara maju maka berfikirlah seperti rakyat di negara kelas pertama bukan kelas ketiga,” katanya yang pernah menyertai pertandingan triathlon Ironman sejak 2015 merangkumi tiga aspek iaitu berenang, berbasikal dan larian maraton.

Anak kelahiran Kuala Lumpur itu menasihati pengayuh basikal untuk patuh undang-undang ketika berkayuh di jalan raya seperti berhenti di lampu merah, pakai topi keledar, pastikan ada lampu dipasang di hadapan dan belakang.  

Ini membolehkan pengguna jalan raya lain menyedari kehadiran pengayuh basikal terutama pada waktu malam, serta bertimbang rasa dan hormati pengguna jalan raya yang lain.

“Banyakkan berkayuh dengan mereka yang lebih berpengalaman kerana banyak benda yang boleh dipelajari seperti isyarat tangan ketika berkayuh yang pelbagai jenis, etika berkayuh, cara berkayuh dalam kumpulan dan sebagainya. Ini semua boleh dipelajari oleh mereka yang berpengalaman,” katanya.

Biasanya Arif akan melakukan aktiviti mengayuh basikal pada hari minggu namun banyak menjalankan aktiviti berbasikal atas trainer dalam rumah sejak pandemik COVID-19.
 
Rancang perjalanan
 
Sementara itu, salah seorang pengasas Get Together Cycling Club (GTCC), Edward Khoo berkata meskipun terdapat kekurangan kemudahan yang mesra pengayuh basikal di Malaysia tetapi mereka yang baharu menerokai bidang pengayuhan basikal ini tidak boleh menjadikannya alasan untuk berkayuh secara berbahaya yang boleh memburukkan orang lain.

“Sewajarnya mereka menyertai kumpulan pengayuh otai atau belajar beberapa teknik atau maklumat yang boleh diperolehi dari Internet sebelum berkayuh di jalan raya.

“Saya lebih suka sekiranya pengayuh baru ini menjalani latihan dalaman dahulu sebelum mengayuh basikal di jalan raya,” katanya.

Beliau berpandangan sikap sedemikian penting bagi mengelakkan pengayuh baru ini daripada kemalangan.

Ini kerana pengguna jalan raya tidak tahu ada beberapa tempat yang menjadi pilihan pengayuh basikal, kecuali ada papan tanda di sepanjang jalan untuk mereka memperlahankan kenderaan dan memantau persekitaran jika ada pengayuh basikal.

“Pengayuh basikal juga perlu membuat perancangan laluan mana yang sesuai untuk mengayuh basikal dan mengelakkan daripada menggunakan laluan laluan yang sibuk dengan kenderaan berat, ” tambahnya.

Khoo mencadangkan pengayuh baharu menyertai kumpulan pengayuh yang berpengalaman yang boleh membimbing mereka serta memastikan semua ahli mematuhi peraturan agar selamat perjalanan dan tidak membahayakan pengguna jalan raya yang lain.

“Pengayuh basikal perlu tahu bila perlu memperlahankan kayuhan apabila berada di jalan raya, memberi tumpuan kepada apa yang ada di hadapan mereka, juga di kiri serta di kanan, sebelum tiba di persimpangan.

“Mereka juga perlu tahu isyarat tangan yang diberikan pengayuh di hadapan sekiranya mereka mengikuti dari belakang,” katanya.

Beliau menambah, pengayuh basikal perlu berfikir seolah-olah mereka memandu kereta, sekurang-kuranya mereka peka akan bahaya, seperti juga ketika sedang memandu.

“Sebagai kumpulan pengayuh, anggota yang otai, mesti juga membuat pertimbangan sekiranya ada pengayuh baharu. Mereka perlu menjaga pengayuh ini dan tidak memilih laluan yang mencabar dan memastikan semua mengayuh dalam kumpulan.

“Perlu perhatian tiada siapa yang ketinggalan, lebih-lebih lagi sekiranya mengayuh di tempat yang asing, ” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -