Kemelut politik: Mereka mendakwa PAS bermuram

- Advertisement -

ADA SEORANG penyokong tegar Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengatakan PAS mula sedih dan muram kerana Umno akan bekerjasama dengan DAP (mengikut maklumat yang beliau terima). Maaf Tuan Haji, saya nak beritahu bahawa Tuan Haji silap besar dalam menilai PAS. Mungkin kerana dalam kepingan hati Tuan Haji hanya ada wajah Anwar sahaja. 

Untuk pengetahuan Tuan Haji dalam perjalanan PAS ini pernah melalui saat-saat yang lebih getir dari apa yang berlaku sekarang. PAS pernah tinggal 2 kerusi sahaja di Kelantan dan hanya ada seorang Ahli Parlimen di Dewan Rakyat. Namun, kami tak pernah berduka lara pun. Bahkan berbekalkan ketulusan dalam berjuang kami terus bangun, berjuang dan berjuang demi Islam. 

- Advertisement -

Kalau bukan kerana Islam, PAS tidak akan sokong Anwar bila beliau diterajang oleh Tun Dr Mahathir Mohamad. Tapi PAS ini baik, kerana akhlak Islam. Kami tak mendendami Anwar walaupun apa yang Anwar tak kata dekat PAS saat Anwar berada di tampuk kuasa. Anwar adalah contoh yang paling jelas mengenai manusia yang mudah lupa diri dan gila kuasa.

Akhirnya PAS juga yang usung Anwar ke hulu ke hilir. Beri sokongan untuk PKR bangun dan beri pula kerusi untuk PKR bertanding. Siap beri pinjam jentera lagi. PKR mana ada grass root, Tuan Haji tak percaya? Lihat keliling Tuan Haji. Tapi apa Anwar buat kepada PAS bila mula rasa kuat dengan bantuan DAP dan Pakatan Harapan (PH). Sorry Tuan Haji mungkin ketaksuban Tuan Haji kepada Anwar menjadi sebelah mata Tuan Haji dah tertutup.

Tuan Haji tahu tak? PAS yang dikatakan bermuram ini adalah sebuah parti yang mempunyai jentera yang lengkap. PKR ada sistem pendidikan yang selengkap PAS? PKR ada pasukan beruniform dan Jabatan Amal yang selengkap PAS? Kalau jentera pilihan raya pun tak ada, baik Tuan Haji kawal sikit percakapan agar jangan kencang sangat. Tuan Guru Abdul Hadi Awang (TGHH) tulis buku bela Anwar bila kononnya Anwar dizalimi oleh Tun (itu pun belum tentu lagi). Tapi ada Anwar tulis buku bela TGHH bila TGHH dizalimi oleh DAP dan Sarawak Report? Dia belasah TGHH lagi ada. Satu lagi contoh manusia yang tak boleh dibuat kawan.

Sebenarnya Tuan Haji, yang muram dan berduka lara itu ialah bos Tuan Haji. Rakyat dah sangat muak dengan nafsu politik beliau yang sangat besar. Cerita nombor sahaja dah berapa kali. Sampai rakan sekutu dalam PH pun dah naik menyampah mendengar kalimat ‘saya ada angka yang strong’. 

Sebagai tambahan kalau Tuan Haji nak tahu, PAS ini dasarnya Islam. Islam yang direalitikan dalam roh perjuangan dan tarbiyyah ahlinya. Bukan sekadar usrah kosong yang berkisar mengenai teori-teori Islam sahaja sambil merasa diri sebagai golongan elit. Maaf, PAS bukan macam itu Tuan Haji. Ok setakat itu dulu. Saya akan tulis lagi kalau Tuan Haji masih keliru dan buat-buat keliru.

USTAZ MOKHTAR SENIK
Ahli Jawatankuasa Kerja 
PAS Pusat – HARAKAHDAILY 7/1/2020

- Advertisement -