Kedah dijangka dapat sedia 8,000 peluang kerja baharu

Berikutan bakal terima pelaburan RM1.5 bilion syarikat kenderaan teknologi hijau dan industri pertahanan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kedah bakal menjadi hab pemasangan kenderaan teknologi hijau dan industri pertahanan yang utama di Asia Tenggara, demikian kata Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor.

Menurutnya, pelaburan projek berimpak tinggi bernilai RM1.5 bilion tersebut dijangka dapat menyediakan lebih 8,000 peluang pekerjaan baharu, di samping membawa masuk pemain industri automotif dan pertahanan terkemuka dunia.

Terang beliau, projek ini akan dikendalikan dua syarikat besar iaitu Go Auto Group yang juga telah memiliki operasi kilang automotif di Gurun sejak 2015 dan Flumen Holdings Sdn Bhd, di mana keduanya turut mempunyai rangkaian perniagaan di luar negara.

- Advertisement -

“Kedua-dua syarikat ini merupakan pemain utama dalam industri kenderaan cekap tenaga dan teknologi hijau serta terlibat dalam pembekalan peralatan pertahanan dan teknologi informasi,” ujarnya dilapor Bernama.

Sanusi memberitahu perkara itu selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Penghuni Perumahan Generasi Baharu FELDA (PGBF) yang juga dihadiri Pengerusi FELDA, Dato’ Seri Idris Jusoh di FELDA Laka Selatan, Bukit Kayu Hitam semalam.

Syarikat tersebut jelas beliau, sudah mengeluarkan kenderaan cekap tenaga jenama Haval dan Borgward dari China, juga van komersial dengan teknologi Higer, serta bas elektrik dengan jenama sendiri, Go Auto.

Dalam pada itu, beliau memberitahu kedua-dua syarikat berkenaan juga akan bergabung untuk memiliki 80 peratus saham dalam Darulaman FC Sdn Bhd (DFC) secara konsesi (5+5 tahun) tertakluk kepada perjanjian.

“Pemilihan syarikat ini berdasarkan rekod dan potensi kewangan, perancangan pembangunan perniagaan bola sepak yang mandiri serta membawa nilai dan aktiviti pelaburan berimpak tinggi kepada Kedah,” maklumnya DFC akan menubuhkan syarikat tujuan khas (SPV) yang akan dimeterai kelak bagi memiliki saham berkenaan.

Dato’ Seri Idris dalam pada itu memaklukan bahawa FELDA sedang menunggu kelulusan daripada kerajaan negeri bagi membolehkan generasi kedua atau ketiga tanah rancangan itu membina rumah tambahan di lot peneroka asal.

Jelas beliau, inisiatif itu adalah bagi membolehkan golongan berkenaan membina rumah baharu di lot sedia ada berhampiran kediaman ibu bapa mereka, sekali gus dapat menyelesaikan isu perumahan dalam kalangan warga FELDA.

“FELDA sudah membuat polisi untuk membenarkan (generasi kedua/ketiga) membina rumah baharu di lot ibu bapa mereka, tapi kena dapat kelulusan daripada kerajaan negeri dahulu.

“Kita dah arahkan semua Pengurus Besar Wilayah FELDA berjumpa dengan setiap kerajaan negeri, in sya Allah bulan depan akan dapat maklum balas, setakat ini respon kerajaan negeri nampak positif,” katanya.
 
Menurut Idris, setakat ini terdapat lebih 112,000 lot rumah FELDA di seluruh negara dan jika cadangan itu diluluskan, generasi baharu FELDA dibenarkan membina rumah baharu tetapi dengan pembiayaan sendiri.

“Pembinaan rumah itu pula tertakluk kepada majlis kerajaan tempatan dan prosedur kerajaan negeri,” katanya pada majlis turut dihadiri ADUN Bukit Kayu Hitam, Halimaton Shaadiah Saad.

Muhammad Sanusi yang terdahulu berucap dalam majlis tersebut berkata, kerajaan negeri memberi jaminan akan sentiasa menyokong dan bekerjasama erat dengan FELDA di mana di Kedah terdapat 10 tanah rancangan dengan jumlah 3,185 keluarga peneroka.

Pada majlis sama, beliau turut melancarkan Program Pembangunan Peneroka (PPP) Wilayah Alor Setar dalam usaha meningkatkan taraf ekonomi warga FELDA, antara projek ‘Smart Fertigation Box‘ bagi tanaman cili dengan kos RM2,000 ditanggung FELDA kepada peneroka terpilih. – HARAKAHDAILY 7/1/2021

- Advertisement -