Jambatan kereta api tenggelam di Manek Urai

- Advertisement -

KOTA BHARU: Jumlah mangsa banjir di Kelantan terus meningkat hari ini di mana jam 11 pagi seramai 4,137 mangsa banjir daripada 1,115 keluarga dipindahkan ke 59 Pusat Penempatan Sementara (PPS) di beberapa jajahan.

Sedangkan sejam sebelum itu mangsa banjir seramai 3,912 daripada 1,064 keluarga.

Paling ramai mangsa banjir yang dipindahkan di jajahan Kuala Krai seramai 1,584 orang daripada 382 keluarga yang ditempatkan di 27 PPS.

- Advertisement -

Mereka ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Lela Jasa 152 orang daripada 40 keluarga, SK Manek Urai Lama 125 orang (34 keluarga) dan SK Banggol Guchil 121 orang (34 keluarga).

Di Jeli pula seramai 1,688 penduduk daripada 491 keluarga berpindah ke 9 PPS termasuk di SK Lubok Bonggor seramai 389 orang (98 keluarga).

Selain itu SK Jeli 1 seramai 292 penduduk daripada 78 keluarga.

Di Tanah Merah seramai 445 mangsa banjir daripada 128 keluarga berpindah ke 12 PPS termasuk Sekolah Menengah Ugama Arab Kampung Kuala Kajang 85 orang daripada 23 keluarga.

Selain itu di SK Lawang seramai 68 mangsa (28 keluarga). Di Pasir Mas pula seramai 371 penduduk daripada 102 keluarga dipindahkan ke 8 PPS.

Antaranya di SK Sri Rantau Panjang 2 seramai 143 orang melibatkan 40 keluarga.

Di Gua Musang pula 49 penduduk daripada 12 keluarga dipindahkan ke 3 PPS termasuk Dewan Majlis Daerah Bertam Baru.

Paras sungai juga dicatat melebihi paras bahaya iaitu Sungai Galas di Dabong 41.12 meter berbanding tahap bahaya 38 meter.

Sungai Lebir di Kampung Tualang pula mencatat bacaan 37.58 meter (35 meter – bahaya).
Tangga Krai di Bandar Kuala Krai pula catatan pada 11 pagi 28.95 meter (25 meter). Manakala Sungai Golok di Rantau Panjang 10.74 meter (9 meter).

Portal e-Banjir Kelantan juga melaporkan 18 lokasi jalan ditutup kepada lalu lintas. Antaranya jalan Tanah Merah-Kusial-Gual Ipoh, Jalan Panglima Bayu-Rantau Panjang dan Banggol Kulim-Rantau Panjang.

Jambatan kereta api di Kampung Mesek Manek Urai juga tenggelam sehingga kelihatan separuh dinding pagar jambatan.

Keadaan cuaca pagi ini di Kota Bharu agak redup. Manakala di Kampung Manek Urai, Kuala Krai agak cerah hari ini. – HARAKAHDAILY 7/1/2021

- Advertisement -