Perkukuhkan MN, PN jalan terbaik – Dr Samsuri

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: PAS masih berpendirian mahu memperkukuhkan Muafakat Nasional (MN) dan memperkasakan Perikatan Nasional (PN) bersama Umno dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

- Advertisement -

Naib Presiden PAS, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, PAS masih mempunyai komitmen memperkukuhkan MN dan PN dalam situasi sekarang.

Malah, katanya pendirian itu merupakan jalan terbaik bagi keharmonian dan kesejahteraan majoriti rakyat dalam negara ini.

“Saya tidak boleh jawab bagi pihak orang lain. Tapi, bagi pihak PAS, saya boleh bagi komitmen bahawa kita (PAS) akan terus memperkukuhkan Muafakat Nasional dan juga Perikatan Nasional.

“(Ini) Kerana itulah jalan terbaik untuk keharmonian dan kesejahteraan majoriti masyarakat dalam negara kita,” tegas beliau ketika ditanya pemberita mengenai kerjasama PAS-Umno, khususnya di Terengganu ini.

Sebelum itu, beliau hadir menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Antara Terengganu Football Club Sdn. Bhd dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Pada 1 Januari lalu, Pengerusi Umno Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Said membuat kenyataan, bahawa parti itu akan bertanding semua 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan lapan Parlimen, pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, akan datang.

Sehubungan itu, kata Dr Samsuri, bahawa hasrat Umno Terengganu memang mahu bertanding semua kerusi di negeri ini.

Namun, kata Menteri Besar Terengganu itu keputusan muktamad akan diputuskan oleh kepimpinan parti masing-masing di peringkat Pusat.

“Itu hasrat Umno negeri Terengganu tetapi dalam masa yang sama, yang mengeluarkan watikah calon bagi semua parti-parti akan diputuskan di peringkat Pusat dan dikeluarkan oleh Presiden parti masing-masing. Selagi rundingan kerusi itu belum selesai, pada saya itu biasalah.

“Insya’Allah, kita (PAS) akan terus berbincang dan berunding,” jelasnya kepada pemberita.

Mengulas pelantikannya sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Negeri (BPN) PN Terengganu, beliau merakamkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri atas kepercayaan itu.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, selaku Pengerusi PN peringkat Pusat dan telah melantik saya sebagai Pengerusi PN Terengganu.

“Saya akan membentuk Jawatankuasa PN negeri selepas ini. Selepas itu, kita akan merangka aktiviti-aktiviti dan program yang bersesuaian untuk memperkukuhkan Perikatan Nasional,” ujarnya.

Seramai 14 Pengerusi Badan Perhubungan Negeri (BPN) Perikatan Nasional dilantik termasuk Tan Sri Muhyiddin sebagai Pengerusi BPN Johor.

Manakala, Menteri Besar Kelantan, Dato’ Ahmad Yakob, akan mengetuai BPN Kelantan, Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor (Kedah) dan Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Mohd Shukri Ramli sebagai Pengerusi BPN Perlis. – HARAKAHDAILY 6/1/2021

- Advertisement -