Fahami selok-belok budaya sebelum bertindak

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menghormati susur galur sejarah negara adalah kunci untuk menjaga dan mengekalkan keharmonian negara.

Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh berkata, sehubungan itu setiap lapisan masyarakat di negara ini harus memahami sensitiviti setiap kaum yang terdapat di Malaysia.

Beliau dihubungi Harakahdaily bagi mengulas premis restoran yang tular di media sosial ekoran memaparkan unsur komunisme sebagai hiasan dalaman.

- Advertisement -

Mengulas lanjut kata Ustazah Nuridah, kerajaan perlu mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang cuba menormalisasikan ideologi Komunis di negara ini.

Manakala, rakyat pula perlu menghormati susur-galur sejarah negara supaya keharmonian kaum dapat dipupuk, dan tidak mengambil kesempatan ke atas toleransi yang wujud di Malaysia.

“Konsep saling menghormati adalah kunci dalam menjaga hubungan baik antara sesebuah pihak bersama pihak lain.

“Maka rakyat Malaysia khususnya berbangsa Cina perlu memahami sensitiviti setiap kaum di Malaysia.

“Apatah lagi, membabitkan sejarah penjajahan Komunis ketika zaman dahulu yang memberi trauma akibat kekejaman komunis terhadap Tanah Melayu,” ujarnya.

Oleh itu, kata Ustazah Nuridah, tindakan tegas dalam perkara membabitkan pemilik restoran menggunakan foto atau ‘wallpaper‘ bermotifkan pemimpin Komunis adalah wajar diambil tindakan tegas.

Baru-baru ini, polis merampas pelbagai gambar dan cawan mempamerkan imej berunsur wajah pemimpin komunis di sebuah restoran dua tingkat berlokasi di Auto City, Juru, Pulau Pinang.

Gambar yang dipamerkan didapati merupakan foto pemimpin komunis, Mao Zedong dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 44 Akta Pertubuhan 1966.

Terkini, sebuah restoran di Jonker Walk, Melaka pula diserbu atas sebab sama kerana memiliki 18 potret juga mirip pemimpin Parti Komunis China, Mao Zedong.

Kes disiasat di bawah Seksyen 47 Akta Pertubuhan 1966 kerana menerbitkan propaganda sebuah pertubuhan haram dan Seksyen 50 (b) Kanun Keseksaan kerana menerbitkan atau mengedar sebarang kenyataan, khabar angin atau laporan dengan niat menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam. – HARAKAHDAILY 6/1/2020

- Advertisement -