DHPP sokong terap nilai Islam dalam kerajaan

K Kumaresan
- Advertisement -

ALOR SETAR: Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Kedah menyifatkan sekarang masa yang sesuai untuk menerapkan nilai-nilai Islam dalam pentadbiran kerajaan secara berperingkat-peringkat.

Pengerusinya, K Kumaresan berkata, sepatutnya elemen agama diterapkan lebih awal lagi dalam pentadbiran kerajaan kerana agama tidak boleh dipisahkan daripada kehidupan manusia.

- Advertisement -

“Politik, budaya, cara hidup, prinsip dan lain-lainnya tidak boleh dipisah atau diasingkan daripada agama.

“Tidak kiralah agama mana pun kerana agama mampu membawa kesejahteraan kepada negara dan kehidupan rakyat,” katanya ketika dihubungi di sini.

Baru-baru ini, Mursyidul Am PAS, Dato’ Ustaz Hashim Jasin memberitahu Majlis Syura Ulama bersedia membantu Kerajaan Perikatan Nasional (PN) bagi menerapkan nilai-nilai Islam dalam pentadbirannya.

Malah, sarjana Islam, Dr Muhamad Zuhaili Saiman berhujah gelanggang politik pilihan raya penting untuk ahli gerakan Islam bersikap tidak gopoh dan terus membantu pimpinan gerakan Islam.

Selain itu membantu menularkan progam gerak kerja pimpinan dan menggunakan peluang membuktikan Islam memerintah lebih baik.

Di Kelantan nilai-nilai Islam diterap dalam pentadbiran kerajaan negeri sejak 30 tahun lalu termasuk mengharamkan premis judi dan mengawal penjualan arak.

Kemuncaknya, Dewan Undangan Negeri Kelantan melulus Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah II pada 1993, namun tidak dapat dilaksanakan sehingga sekarang kerana perlu pindaan perlembagaan.

K Kumaresan yang Pegawai Khas Menteri Besar Kedah berkata, amat wajar agama dijadikan platform untuk setiap tindakan sama ada dalam kehidupan seharian atau mentadbir negara. – HARAKAHDAILY 6/1/2021

- Advertisement -