PAS hasrat Malaysia bebas judi 2025

- Advertisement -

KANGAR: Pendirian PAS sejak dahulu sehingga sekarang tetap sama bagi mendesak kerajaan mengharamkan sepenuhnya judi di Malaysia.

Ia temasuk juga judi ramalan nombor iaitu 162 cabutan biasa dan 8 atau 22 cabutan khas.

- Advertisement -

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ustaz Ahmad Marzuk Shaary berkata, PAS tidak pernah berlembut dalam soal tersebut bahkan tegas dengan prinsip Islam.

“PAS konsisten menyatakan bantahan terhadap isu judi sejak dahulu lagi, ketika menjadi pembangkang kita tidak mempunyai saluran yang boleh dicapai secara mudah.

“Tetapi sekarang apabila kita telah menjadi sebahagian kerajaan, kita boleh secara terus dengan kementerian berkaitan,” katanya selepas program penyampaian sumbangan kelengkapan sekolah dan kewangan kepada 450 pelajar golongan B40 di Kompleks PAS Negeri Perlis (KOMPAS) hari ini.

Turut hadir, Mursyidul Am PAS Dato’ Tuan Guru Hashim Jasin dan Pesuruhjaya PAS Perlis Mohd Shukri Ramli.

Baru-baru ini, Angkatan Muda Keadilan mendesak kerajaan menyemak semula kelulusan meningkatkan kekerapan cabutan khas judi nombor ramalan 4 digit kepada 22 setahun.

Ahmad Marzuk yang juga ahli parlimen Pengkalan Chepa berkata, agama lain tidak menggalakkan penganutnya berjudi.

“Tidak ada kebaikan pun daripada hasil judi kerana tiada keberkatan.

“Jika kita kekal sebagai kerajaan, PAS mempunyai wawasan untuk menjadikan negara kita bebas daripada judi menjelang tahun 2025 nanti,” ujarnya.- HARAKAHDAILY 5/1/2021

- Advertisement -