Syura medan penilaian hujah

- Advertisement -

ISTILAH الشورى  kadangkala disalahguna untuk meraih pengaruh tertentu. Maksud asalnya ialah mesyuarat atau perbincangan. Namun, mereka yang berkepentingan, mengeluarkan pendapat peribadinya lalu melabelkannya sebagai keputusan dan ketetapan mesyuarat. 

- Advertisement -

Allah S.W.T berfirman:

فَبِمَا رَحْمَةٍ مِّنَ اللَّهِ لِنتَ لَهُمْ ۖ وَلَوْ كُنتَ فَظًّا غَلِيظَ الْقَلْبِ لَانفَضُّوا مِنْ حَوْلِكَ ۖ فَاعْفُ عَنْهُمْ وَاسْتَغْفِرْ لَهُمْ وَشَاوِرْهُمْ فِي الْأَمْرِ ۖ فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِينَ

“Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (Sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya.”

(ali-‘Imran: 159)

Ibn Atiyyah menyatakan:

والشٌّورى من قواعد الشريعة وعزائم الأحكام، من لا يستشر أهل العلم والدِّين فعزله واجبٌ.. هذا ما لا خلاف فيه

“Syura itu sebahagian daripada kaedah syariat dan keteguhan hukum-hakam. Sesiapa yang tidak bermesyuarat dengan ahli ilmu dan agama, wajib meninggalkannya. Hal ini tiada perselisihan padanya.”

Manakala Imam Fakhrurazi di dalam tafsirnya menyatakan:

ظاهر الأمر للوجوب فقوله : ( وشاورهم ) يقتضي الوجوب

“Zahir bagi arahan itu berbentuk wajib. Maka FirmanNya وشاورهم  bermaksud wajib”

Di sana wujudnya perbahasan mengenai istilah ملزمة  dan معلمة  yang merupakan cabang الشورى. 

(a) Perkataan ملزمة  bermaksud keputusan mesyuarat diputuskan secara kolektif (bersama) sekalipun menyalahi pandangan ketua.

(b) Manakala معلمة  pula bermaksud keputusan mesyuarat dibuat oleh ketua selepas mendengar pelbagai pandangan ahli mesyuarat sekalipun menyalahi pandangan mereka.

Perbahasan ini perlu diperhalusi untuk mengelakkan istilah الشورى  itu disalahguna. Antaranya menggunakan istilahمعلمة  untuk menghalalkan kediktatorannya, atau menggunakan istilah ملزمة  untuk menolak kebenaran yang dibawa oleh ketua.

Syeikh Yusof al-Qaradawi di dalam kitabnya من فقه الدولة  menukilkan suara hati Ibn al Qayyim mengenai siri-siri kejumudan yang melanda para ulamak dan fuqahak di zamannya yang menyebabkan terserapnya undang-undang manusia menggantikan sebahagian hukum syariat. Disebabkan kejumudan tersebut, beliau mengkritik golongan yang menyalahgunakan istilah معلمة  atas alasan tidak mahu berubah.

Imam Sa’id Hawwa di dalam kitabnya دروس في العمل الاسلامي  menceritakan mengenai kepentingan memilih pimpinan yang betul, yang bakal menjadi ahli mesyuarat. Kemudian beliau menghuraikan mengenai kesan buruk pengamalan معلمة.

Walau bagaimanapun, yang diinginkan daripada mesyuarat الشورى  adalah keputusan yang terbaik untuk Islam. Yang sepatutnya dinilai dalam mesyuarat ialah hujah. Hujah mana yang lebih tepat dengan ketetapan Islam, itulah yang terbaik.

Sekalipun hujah yang tepat itu hanya disokong oleh seorang dua, manakala hujah yang ‘ke laut’ pula disokong oleh majoriti ahli mesyuarat, maka yang sepatutnya dipilih ialah hujah yang lebih tepat sekalipun seorang dua.

Sebab itulah tujuan sistem الشورى  ini ialah medan penilaian hujah. Bukan hanya sekadar angkat tangan tanda setuju. Syura tidak boleh diukur dengan kepentingan peribadi, atau kelompok tertentu yang sudah pasti tiada sandaran hujahnya.

MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 4/1/2020

- Advertisement -