Jika ‘meminati’ DAP, lihat akibat PAN

- Advertisement -

SEGELINTIR pimpinan Umno patut belajar dari perjalanan hidup PAN. Suka saya mengingatkan segelintir kecil pimpinan Umno yang sehari dua ini sibuk nak bermutaah dengan DAP agar cuba belajar sesuatu dari perjalanan hayat PAN.

Dahulunya pimpinan PAN ketika dalam PAS juga mengalami sindrom yang sama dengan segelintir pimpinan Umno itu:

(1) Kerana tamakkan kuasa dan kemenangan mee segera, makanya mereka berpeluk mesra dengan DAP yang kelihatan mampu membawa mereka ke mercu kuasa.

(2) Sebagai justifikasi atas minat dan selera mereka kepada DAP itu lalu dicipta sebuah drama seram iaitu UG atau Unity Government PAS Umno. Kononnya kerana tidak mahukan Umno (berwajah jijik) maka mereka yang berhati suci dengan niat menjaga keislaman PAS terpaksa menolak Umno (Melayu Muslim). Tapi tanpa rasa bersalah menjalinkan hubungan dengan DAP (yang didominasi non-Melayu dan non-Muslim). Entah Usul Fiqh mana yang mereka rujuk kita pun tak tahu). Maka berumahtangga-lah mereka dengan DAP saat hampir menjelangnya PRU14. 

- Advertisement -

(3) Dalam rumahtangga baru ini PAN yang hanya ada beberapa kerusi terpaksa tunduk kepada DAP, Abang Long Pakatan Harapan. Hatta Tun Dr Mahathir (Tun) yang power itu pun terpaksa ikut telunjuk DAP sehinggalah Tun tak tahan lagi dibuli lalu melepaskan jawatan PM.

(4) PAN terpaksa menjadi pembela DAP. Segala statement pimpinan DAP dipertahankan penuh setia oleh PAN. Hatta isu-isu yang berkaitan agama, bangsa Melayu dan institusi Raja-raja Melayu. Saya tidak pasti PAN lakukan itu dengan rasa terkilan atau rasa penuh bangga kerana dapat membuktikan taat setia kepada orang yang membawa mereka ke Putrajaya.

(5) Nasib PAN terus dirundung malang. Sebuah parti kecil diberi sedikit ruang di halaman mewah DAP. PAN tidak menjadi menu yang menyelerakan rakyat Malaysia khususnya orang-orang Melayu. Keahlian PAN yang kononnya bertambah 10 ribu setiap bulan rupanya hanya sebuah khayalan sang Presiden. PAN dan pimpinannya semakin terpinggir dari khalayak rakyat Malaysia. 

(6) Kerajaan PH hanya mampu bertahan 22 bulan sahaja. Kerana PH tidak punya kejujuran sebenar dalam penyatuan mereka. Masing-masing parti hanya mahu memperalatkan parti rakan demi kepentingan parti mereka atau diri mereka. Hasilnya DAP dan PKR hanya nak guna Tun sekejap sahaja. DAP pergunakan PAN untuk menyelamatkan DAP dari kebencian orang-orang Melayu sahaja. Tun mahu menggunakan DAP dan PKR untuk melonjakkan beliau kembali ke kerusi PM. Yang kelakarnya, walaupun niat mereka berbeza-beza iaitu demi kepentingan sendiri, namun alasan mereka sama iaitu mahu menyelamatkan Malaysia dari kerakusan Najib. Jadi Umno perlu ditolak dan PAS juga wajib disingkirkan kerana kononnya mahu UG dengan Umno.

(7) Selepas Tun ‘tanpa sedar’ melepaskan jawatan, nasib PAN semakin malang. Udahlah pengaruh sudah hilang, kini jawatan pula melayang. Yang tinggal hanya kerusi DUN dan Parlimen. Tinggallah sebuah kenangan.

Jadi kepada yang masih berminat dengan DAP itu, sila-lah belajar dari nasib PAN. Kalau dah nampak dengan jelas, tapi masih juga minat dengan DAP itu bermakna kamu sedang menjerut leher kamu sendiri. Apa kami boleh buat. Percayalah kamu tidak akan sampai ke mana pun. 

USTAZ MOKHTAR SENIK
Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Pusat – HARAKAHDAILY 4/1/2021

- Advertisement -