Apa faktor utama jangkitan COVID-19 merebak?

- Advertisement -

SESUATU perkara baharu yang perlu kita belajar mengenai virus COVID-19 ini iaitu melalui pergaulan dan pergerakan manusia adalah menjadi faktor utama jangkitan itu boleh merebak.

Oleh demikian adalah tepat bagi kerajaan mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengawal dan mengekang COVID-19 ini merebak di kalangan masyarakat.

- Advertisement -

Kita perhatikan jangkitan COVID-19 tidak meningkat secara mendadak di Afrika, ianya berbeza dia mereka dengan negara-negara Eropah dan US. Antara faktor yang kita dapati:

(1) Kurang pergerakan menyebabkan kurangnya kontak fizikal.
(2) Walaupun populasi ramai tetapi jarak antara satu rakyat dengan rakyat lain adalah jauh. Sekali lagi Penjarakan fizikal adalah faktor utama bagaimana menghalang wabak.
(3) Afrika adalah negara miskin. Tiada ujian saringan secara menyeluruh. Tiada laporan kes bukan bermakna tiada kes, tetapi saringan ujian COVID-19 tidak dilakukan.
(4) Rakyat tidak tampil untuk buat saringan. Andai kata positif, mereka akan dikuarantin dan menjadi masalah kepada mereka. Kuarantin bermakna menyekat periuk nasi mereka.

Begitu juga dengan sejarah kejayaan yang telah dicapai oleh China. Bagaimana mereka dapat mengekang virus COVID-19 dengan begitu pantas sekali? Laporan yang kita perolehi adalah mereka mengawal pergerakan rakyat dengan begitu ketat sekali. Bermula daripada Disember 2019 sehinggalah kepada Mac 2020 kita semua dapat membaca di dalam siaran berita, mereka memang menggunakan ketegasan begitu ketat untuk mengelakkan pergerakan dan pergaulan rakyat. Sehinggakan mereka membuat total lockdown untuk mengawal sempadan. Mana-mana yang melanggar arahan akan diambil tindakan tegas sehingga ada di penjara dan beberapa tindakan tegas lagi.

Itulah kelebihan sebuah negara Komunis. Kita bukan menyokong fahaman Komunis tetapi tindakan yang dilakukan oleh kerajaan itu tepat dengan suasana yang berlaku pada masa tersebut. Sebaliknya dalam negara kita yang memperjuangkan moderasi serta hak bersuara juga hak bergerak, walaupun dijalankan Perintah Kawalan Pergerakan dan sebagainya tapi masih ramai lagi yang tidak sedar dan tidak dengar kata. Ramai yang melanggar arahan kerajaan. Oleh demikian kita nampak jumlah jangkitan begitu meningkat secara mendadak.

Begitu juga kalau kita lihat kepada pecahan jantina yang manakah yang lebih ramai dijangkiti oleh COVID-19? Kita dapati lelaki lebih ramai dijangkiti. Jumlahnya mencecah kepada 70 peratus daripada jumlah keseluruhan jangkitan COVID-19. Mungkin faktor utama kenapa jantina lelaki meningkat dijangkiti virus COVID-19 adalah kebebasan bergerak. Tidak dinafikan bahawa pergerakan lelaki adalah lebih kerana mereka keluar untuk mencari sara hidup. Namun pergerakan itu akan menambahkan lagi risiko mereka dijangkiti terutama sekali mereka yang tidak mengamalkan SOP, risiko akan lebih lagi berkali-kali ganda.

Statistik juga mendapati golongan dewasa lebih ramai dijangkiti berbanding dengan kanak-kanak dan wanita. Kanak-kanak dan wanita diminta supaya duduk di rumah. Keluar hanya atas tugasan yang mendesak sahaja. Tetapi sejak akhir-akhir ini kanak-kanak dan wanita juga sudah mula dijangkiti. Kenapa?

Sebab mereka sudah tak dengar arahan, berjalan rata-riti. Mana-mana individu daripada zon merah adalah diminta supaya duduk di zon mereka, tidak bergerak ke sana ke sini. Tetapi apa yang berlaku, mereka ke sana ke sini menjelajah beberapa negeri. Kita faham, mungkin akibat daripada stres kerana sudah lama kita berkurung, menyebabkan mereka ingin lepas bebas tetapi perlu diingat bersama kita masih lagi belum menang untuk melawan COVID-19. Jumlah kes positif harian yang semakin meningkat tetapi kita sudah mangli dengan jumlah yang tinggi dan kita mula mahu bebas sebebas-bebasnya.

DR SUHAZELI ABDULLAH 
Pakar Perubatan Keluarga 
Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – HARAKAHDAILY 4/1/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -