Demi generasi yang soleh

- Advertisement -

SAYA memilih nasihat ini untuk menutup tirai 2020 dan membuka tabir 2021. Ada yang menyebutkan ia kata-kata Ibnul Qayyim, saya masih mencari sumbernya. Kata beliau ‘Kebanyakan punca kerosakan anak-anak datangnya dari si ayah’.

Bukan mahu mencari salah, sebaliknya menginsafi akan tanggungjawab yang terpundak atas bahu demi generasi mendatang. Mana mungkin si anak terus menerus menyalahkan si bapa dan ibu tanpa dia sendiri mengorak langkah untuk merubahnya. Jauh sekali berdendam dengan ibu ayah sendiri. 
‘Tahun COVID’ selayaknya memberi kesan pada si ayah yang 24 jam selama berbulan-bulan menatap anak namun tidak berbuat apa-apa. Benar, ekonomi meruncing, pendapatan terjejas, tetapi bahagia itu bukan hanya soal duit. Kita punya tanggungjawab mendidik isteri dan anak.

- Advertisement -

Hayatilah doa Nabi Ibrahim A.S sebaiknya:

رَبِّ ٱجۡعَلۡنِی مُقِیمَ ٱلصَّلَوٰةِ وَمِن ذُرِّیَّتِیۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلۡ دُعَاۤءِ

“Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

(Ibrahim: 40)

Juga perintah Allah berikut:

یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ قُوۤا۟ أَنفُسَكُمۡ وَأَهۡلِیكُمۡ نَارࣰا وَقُودُهَا ٱلنَّاسُ وَٱلۡحِجَارَةُ عَلَیۡهَا مَلَـٰۤىِٕكَةٌ غِلَاظࣱ شِدَادࣱ لَّا یَعۡصُونَ ٱللَّهَ مَاۤ أَمَرَهُمۡ وَیَفۡعَلُونَ مَا یُؤۡمَرُونَ

“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.”

(at-Tahrim: 6)

Bahawa, mensolehkan diri si ayah dan berterusan membaiki diri amat penting demi kesolehan anak-anak. Di dalam al-Quran, terdapat 14 dialog secara khusus si ayah dengan anak lelaki melalui pelbagai kisah. Ia amat penting untuk ditadabbur oleh para ayah atau bakal ayah sebagai panduan kita bersama. 

4 Jangan’ dalam dialog Luqmanul Hakim kepada anaknya

Kisah Luqmanul Hakim sentiasa menjadi rujukan utama dalam ilmu kekeluargaan. Melalui ayat di dalam surah Luqman, beliau memberi pesan kepada anaknya dengan 4 jangan. 

(1) Jangan mensyirikkan Allah Taala:

وَإِذۡ قَالَ لُقۡمَـٰنُ لِٱبۡنِهِۦ وَهُوَ یَعِظُهُۥ یَـٰبُنَیَّ لَا تُشۡرِكۡ بِٱللَّهِۖ إِنَّ ٱلشِّرۡكَ لَظُلۡمٌ عَظِیمࣱ

(Luqman: 13)

(2) Jangan taat kepada ibu bapa yang menyuruh kesyirikan:

وَإِن جَـٰهَدَاكَ عَلَىٰۤ أَن تُشۡرِكَ بِی مَا لَیۡسَ لَكَ بِهِۦ عِلۡمࣱ فَلَا تُطِعۡهُمَاۖ وَصَاحِبۡهُمَا فِی ٱلدُّنۡیَا مَعۡرُوفࣰاۖ وَٱتَّبِعۡ سَبِیلَ مَنۡ أَنَابَ إِلَیَّۚ ثُمَّ إِلَیَّ مَرۡجِعُكُمۡ فَأُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمۡ تَعۡمَلُونَ

(Luqman: 15)

(3) Jangan menghina atau memandang rendah orang lain:

وَلَا تُصَعِّرۡ خَدَّكَ لِلنَّاسِ… 

(4) Jangan sombong atau takabbur lagi membanggakan diri:

وَلَا تَمۡشِ فِی ٱلۡأَرۡضِ مَرَحًاۖ إِنَّ ٱللَّهَ لَا یُحِبُّ كُلَّ مُخۡتَالࣲ فَخُورࣲ

(Luqman: 18)

Dalam topik Positive Parenting, ada yang menganggap ibu bapa tidak boleh menggunakan perkataan ‘jangan’ terhadap anak-anak dan hendaklah hanya menggunakan lafaz yang berbentuk saranan sahaja.

Sebenarnya, bukanlah langsung tidak boleh, tetapi mestilah seimbang di antara memberi saranan dan melarang, atau lebihkan saranan dan terkadang menyebutkan perkara yang dilarang. Hal ini boleh diamati melalui nasihat Luqman terhadap anaknya. 

وَإِن جَـٰهَدَاكَ عَلَىٰۤ أَن تُشۡرِكَ بِی مَا لَیۡسَ لَكَ بِهِۦ عِلۡمࣱ فَلَا تُطِعۡهُمَاۖ وَصَاحِبۡهُمَا فِی ٱلدُّنۡیَا مَعۡرُوفࣰاۖ وَٱتَّبِعۡ سَبِیلَ مَنۡ أَنَابَ إِلَیَّۚ ثُمَّ إِلَیَّ مَرۡجِعُكُمۡ فَأُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمۡ تَعۡمَلُونَ

(Luqman: 15)

Dalam ayat di atas, selepas Luqman melarang anaknya untuk tidak taat kepada ibu bapa dalam perkara syirik, tetaplah saranan supaya si anak mendampingi keduanya dengan kebaikan.

Berkata Imam Baghawi:

وَصَاحِبۡهُمَا فِی ٱلدُّنۡیَا مَعۡرُوفࣰاۖ 

“(Bermaksud) Berterusan berbuat baik kepada keduanya, saling berhubung, dan bergaul dengan pergaulan yang paling cantik.”

Ternyata ia amat disarankan oleh Baginda S.A.W melalui Hadis berikut: 

“Seorang lelaki datang menemui Nabi S.A.W seraya berkata: Aku berbai’ah kepada kamu untuk berhijrah dan jihad bagi mencari pahala daripada Allah. Sabda Baginda S.A.W: “Adakah salah seorang ibu bapa kamu masih hidup? Jawab beliau: “Ya, bahkan kedua-duanya.” Sabda Baginda: “Adakah kamu ingin mencari pahala daripada Allah? Jawabnya: “Ya.” Lantas sabda Baginda S.A.W: “Pulanglah kepada ibu bapa kamu dan berihsanlah dalam melayani kedua-duanya.””

(Riwayat Bukhari, Muslim dan Abu Daud)

Begitu juga kisah yang masyhur di antara Asma’ bin Abu Bakar dan ibunya yang Musyrik.

“Ibuku menemuiku saat itu dia masih Musyrik ketika Quraisy Muslimin mengikat perjanjian dengan Rasulullah S.A.W dan ayahnya, lalu aku meminta pendapat kepada Rasulullah S.A.W. Aku katakan; “Wahai Rasulullah, Ibuku (yang Musyrik) datang kepadaku dan dia sangat ingin (aku berbuat baik padanya), apakah aku harus tetap menjalin hubungan dengan ibuku?”. Baginda menjawab: “Ya, sambunglah silaturahim dengannya”.

(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Maka mengalirlah kesolehan Luqman kepada anaknya. 

USTAZ MOHD ADLAN MOKHTARUDDIN
Penolong Rektor II (Hal Ehwal Pelajar)
Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM) – HARAKAHDAILY 1/1/2021

- Advertisement -