Sedia kerjasama naik taraf pos kawalan sempadan

- Advertisement -

PASIR MAS: Kerajaan Kelantan menyokong penuh cadangan kerajaan Persekutuan untuk menaik taraf 12 pos kawalan keselamatan di perbatasan negara sepanjang Sungai Golok.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, Dato’ Mohd Nassuruddin Daud berkata kerajaan negeri sedia memberi kerjasama penuh.

- Advertisement -

Katanya kerjasama itu penting sekiranya pos tersebut yang akan dibina turut membabitkan tanah milik kerajaan bagi memastikan keselesaan anggota bertugas.

“Kita sentiasa menyambut baik usaha itu, malah kita pernah menerima cadang pos keselamatan itu didirikan di tanah kerajaan.

“Jadi kita beri sokongan penuh dan berharap pegawai bertugas mendapat keselesaan khususnya ketika musim banjir dan wabak Covid-19 yang menjadi cabaran sekarang,” katanya pada majlis penyampaian sumbangan kepada anggota PGA Batalion Tujuh yang bertugas di Pos Kampung Pak Hitam Meranti di sini semalam.

Sumbangan berupa makanan dan sejadah diserah kepada Penolong Pegawai Pemerintah Batalion Tujuh, DSP Ku Majidin Ku Jusoh.

Sebanyak 12 daripada 17 pos kawalan keselamatan di bawah kendalian PGA sepanjang Sungai Golok dinaiki air antara 0.5 hingga dua meter ketika banjir baru-baru ini. – HARAKAHDAILY 31/12/2020

- Advertisement -