Parti komponen MN tetap digerak

- Advertisement -

KOTA BHARU: PAS akan bergerak bersama parti komponen dalam Muafakat Nasional (MN) walaupun organisasi itu tidak dapat didaftarkan secara rasmi.

- Advertisement -

Naib Presiden PAS, Mohd Amar Abdullah berkata, usaha untuk mendaftarkan MN menghadapi masalah kerana difahamkan nama itu sudah digunakan pihak lain.

“Saya difahamkan ada usaha-usaha untuk daftarkan (MN), tetapi tidak dapat didaftar kerana nama itu sudah digunakan pihak lain.

“Nama (MN) itu.. sudah ada dalam pendaftaran Jabatan Pendaftaran Pertubuhan.. tak tahu macam mana ia boleh berlaku, itu yang saya difahamkanlah,” ujarnya di sini.

Gagasan MN dibentuk bermula dengan gerakan Muafakat Ummah bagi menyatukan kembali kekuatan politik orang Melayu di negara ini selepas Pilihan Raya Umum (PRU) lepas.

Gugatan terhadap ketuanan Melayu yang berlaku sepanjang pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) menyebabkan parti-parti Melayu di negara ini yang didominasikan PAS dan Umno kembali bertaut.

Bermula dari situ akhirnya muncul Piagam Muafakat Nasional yang dicetus pada perhimpunan umat Islam di PWTC pada 14 September 2019.

Tidak lama selepas MN digerakkan ke seluruh negara menyebabkan kerajaan PH goyang sehingga akhirnya krisis dalaman menyebabkan Tun Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan.

Berikutan itu pada 1 Mac 2020 Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik sebagai perdana menteri bagi menyelesaikan kemelut politik yang berlaku.- HARAKAHDAILY 31/12/2020

- Advertisement -