Kerajaan PH ‘bailout’ hartanah untuk warga asing

Penurunan harga minimum oleh PH itu harap dibatalkan oleh Kerajaan PN

- Advertisement -

KEPUTUSAN Kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk menurunkan harga minima hartanah yang boleh dibeli oleh warga asing dari RM1 juta kepada RM600,000 telah diumumkan pada sidang Belanjawan 2020 ketika rakyat Malaysia menghadapi masalah untuk memiliki rumah sendiri justeru itu mengejutkan. Hari ini walaupun kerajaan tersebut telah tumbang dan Kerajaan Perikatan Nasional telah menggantikannya namun belum ada pengumuman rasmi yang membatalkan peraturan tersebut.

Pada 22 Disember lepas, Exco Perumahan Kerajaan Negeri Selangor, YB Rodziah Ismail, menegaskan Kerajaan Negeri Selangor tidak akan menurunkan harga minima ini kepada RM600,000 sepertimana peraturan Kerajaan Persekutuan. Ketika PAS adalah sebahagian dari Kerajaan Negeri Selangor, harga minima ini adalah RM2 juta dan hari ini ia masih RM2 juta. Sejak dari dahulu lagi harga minima di Selangor adalah berbeza dari Kerajaan Persekutuan.

- Advertisement -

Penurunan ini dilihat seperti untuk membantu para pemaju menjual hartanah yang tidak laku (property overhang).Pemaju sepatutnya telah melakukan kajian pasaran untuk mengelakkan perkara ini dari berlaku. Permintaan hari ini adalah terhadap rumah mampu milik dan bukan hartanah mewah.

Menurut data Pusat Maklumat Hartanah Negara (NAPIC), pada suku pertama 2019 daripada 32,936 unit kediaman yang tidak terjual yang bernilai RM19,964.20 juta hanya 13.86 peratus atau 4,567 unit bernilai RM548.15 juta adalah terdiri dari rumah di bawah RM200,000 seunit. Ini membuktikan permintaan adalah terhadap rumah mampu milik.

Kerajaan perlu memberi tumpuan kepada usaha-usaha untuk membantu rakyat berpendapatan rendah dan sederhana memiliki rumah. Pemaju telah mengambil risiko membina rumah mewah dan rumah kos tinggi. Mereka menjangkakan mengaut keuntungan yang lebih besar berbanding membina rumah mampu milik walaupun rumah mampu milik amat diperlukan. Oleh itu, tidak wajar kerajaan membantu mereka apabila mereka gagal. Mereka telah membuat pilihan maka mereka perlu menyelesaikan masalah mereka sendiri.

Harga minima RM600,000 adalah rendah berbanding dengan pendapatan rakyat di negara-negara seperti Singapura dan Hong Kong. RM600,000 adalah 196,656 Dollar Singapura (SGD) atau 1,124,279 Dollar Hong Kong (HKD).

Sebagai perbandingan kita perlu melihat nilai harga rumah RM600,000 itu dan pendapatan rakyat di negara-negara yang mungkin menjadi sasaran pemaju Malaysia itu. Di Malaysia, pendapatan median isi rumah adalah RM6,275 sebulan (M40) dan harga rumah RM600,000 ini bersamaan dengan 95.60 bulan pendapatan bulanan mereka.

Sementara bagi rakyat Singapura, pendapatan median isi rumah mereka adalah 9,293 SGD atau RM28,325 dan ini bersamaan dengan hanya 21.16 bulan pendapatan bulanan mereka.

Bagi rakyat Hong Kong pula, pendapatan median isi rumah adalah 28,100 HKD atau RM14,974 dan ini bersamaan dengan 40.00 bulan pendapatan bulanan mereka. Oleh yang demikian, harga minima hartanah ini adalah terlalu rendah bagi mereka. Hartanah tersebut akan laku dijual seperti kacang goreng panas.

Polisi ini akan menyebabkan komposisi bandar-bandar kita berubah. Struktur masyarakat juga akan berubah dengan kebanjiran warga-warga asing ini. Kita sedang berusaha menyelesaikan masalah-masalah sampingan yang datang dengan tenaga kerja asing dan kita akan menambah masalah dengan polisi baru ini. Polisi baru ini adalah satu ‘bailout’ walaupun kerajaan tidak perlu mengeluarkan satu sen namun kesannya akan ditanggung oleh kita semua.

Tetapi yang paling menyedihkan rakyat tempatan sedang menghadapi masalah untuk memiliki rumah walhal warga asing boleh memilikinya dengan mudah. Bantulah mereka yang memerlukan bukan para pemaju.

Tetapi apakah penyelesaiannya? Terdapat pihak yang berpandangan kerajaan negeri atau Pihak Berkuasa Tempatan perlu bertindak dengan lebih tegas. Mereka perlu mengawal bekalan hartanah yang dilambakkan ke dalam pasaran. Kelulusan tidak boleh diberikan semata-mata kerana ia mematuhi Rancangan Tempatan ( RT ) seperti zon gunatanah dan kepadatan pembangunan atau keperluan-keperluan teknikal yang lain tetapi keupayaan pemaju menjual hartanah yang hendak dibangunkan. Kajian pasaran yang disediakan oleh pihak yang bebas perlu diambilkira. Agensi kerajaan seperti NAPIC perlu dilibatkan di dalam OSC (One Stop Centre).

Bagaimana pula dengan hartanah yang tidak laku? Ia sebenarnya bukan masalah kerajaan. Masalah hartanah yang tidak terjual ini telah wujud sejak berlaku Krisis Kewangan Asia (Asian Financial Crisis) dalam tahun 1997. Tetapi para pemaju terus mengulangi kesilapan mereka. Hartanah terus dihasilkan dengan harapan sebarang kemelesetan ekonomi akan berlalu dan kerajaan akan membantu. Justeru kerajaan perlu tegas. Menurunkan had minima sehingga RM600,000 adalah melampau. Di Selangor, YB Rodziah yang mewakili kerajaan negeri berkata mereka boleh mempertimbangkan serendah RM1.5 juta sahaja.

Walau bagaimanapun saya berpandangan sebarang penurunan perlu dikaitkan dengan komitmen pemaju untuk membangunkan perumahan mampu milik. Mereka mungkin diwajibkan menyumbang kepada satu tabung khas untuk membinanya. Selain dari itu perlu ada kuota yang boleh dijual kepada warga asing bagi sesuatu pembangunan malah blok. Pelepasan bukan automatik tetapi berdasarkan kes demi kes (case to case) dan pemilik warga tempatan mestilah majoriti yang tidak tercabar atau ‘overwhelming majority’.

DATO’ ISKANDAR ABDUL SAMAD
Ketua Penyelaras
Pusat Kajian Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan (REACH) – HARAKAHDAILY 31/12/2020

- Advertisement -