‘Grand Coalition’ pembangkang menuju jalan mati

- Advertisement -

SESIAPA yang meneliti dengan cermat rakaman program Dialog Pembangkang Siri 2 pada Hari Selasa, 29 Disember 2020, yang menampilkan Presiden Penaja PEJUANG, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Timbalan Presiden PAN, Datuk Seri Salahuddin Ayub, Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke, Naib Presiden PKR, Tian Chua, dan Ketua Wirawati WARISAN, Isnaraissah Munirah Majilis, akan tidak dapat lari dari membuat kesimpulan bahawa idea ‘Grand Coalition’ pembangkang akan amat sukar untuk dilaksanakan malah mungkin akan menemui jalan mati.

Pada awal-awal program lagi Tian Chua dan Anthony Loke sudah mengakui mengenai ketiadaan titik persamaan dan kewujudan perbezaan pendapat antara pimpinan parti-parti pembangkang. Tian Chua menyebut, ‘titik persamaan dulu (dalam PRU14) ialah kerana kita ada musuh yang kuat, kita terpaksa bergabung’ manakala Anthony Loke pula menyebut, ‘kita tak menafikan bahawa ada sedikit perbezaan pendapat di kalangan pimpinan pembangkang pada hari ini’.

- Advertisement -

Bahawa rakyat rata-ratanya sudah tidak lagi tertarik dengan pakatan pembangkang juga jelas kelihatan di dalam kenyataan pesimis Tian Chua yang menyebut, ‘kini rakyat agak keliru ya, semua parti seolah-olah berebut untuk dapatkan kuasa’ dan ‘rakyat sekarang agak jemu dengan parti politik atau individu yang tidak peduli tentang kesusahan mereka tapi hanya fikir berapa banyak kerusi dia nak menang, berapa bagaimana dia boleh jadi pegang kuasa dan lain-lain lagi’.

Bahawa idea ‘Grand Coalition’ pembangkang akan amat sukar untuk dilaksanakan juga jelas kelihatan di dalam kenyataan pesimis Anthony Loke berbunyi ‘PRU yang lepas kita mengumpulkan semua parti dalam satu pakatan, satu coalition yang formal, tetapi bagi saya strategi ke depan sekarang ini dia tidak semestinya satu coalition yang formal’ kerana jika parti pembangkang gagal dikumpulkan dalam satu coalition yang formal ia bukanlah ‘Grand Coalition’.

Bahawa idea ‘Grand Coalition’ pembangkang akan berhadapan dengan masalah besar ekoran pertikaian mengenai calon Perdana Menteri juga jelas kelihatan di dalam kenyataan pesimis Anthony Loke berbunyi ‘kita faham bahawa kebanyakan fokus kita pada hari ini ialah calon Perdana Menteri yang menyebabkan bahawa kita tak boleh duduk bersama’ menyebabkan beliau berkata ‘kita memerlukan lebih ramai tokoh, bukan bergantung kepada satu tokoh sahaja’.

Bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak diterima sebagai calon Perdana Menteri oleh PEJUANG juga jelas kelihatan di dalam jawapan kabur Datuk Seri Mukhriz Mahathir berbunyi ‘kami bukan sebahagian daripada Pakatan Harapan jadi nak kena bincang dululah’ ke atas pertanyaan moderator mengenainya serta di dalam kenyataan beliau bahawa dalam PRU15 nanti ‘kita boleh menampilkan muka-muka muda sikit’ dan ‘kita lihat generasi-generasi yang lebih muda’.

Bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak diterima sebagai calon Perdana Menteri oleh WARISAN juga jelas kelihatan di dalam kenyataan tegas Isnaraissah Munirah Majilis berbunyi ‘why not untuk mengetengahkan pemimpin daripada Sabah Sarawak (untuk mengetuai Malaysia)?’ dan ‘ini adalah Negara Malaysia, setelah 60 tahun kita bersama-sama membina bersama kenapa tidak kita ketengahkan orang daripada Sabah ataupun Sarawak untuk mengetuai Malaysia pada kali ini?’

Datuk Seri Salahuddin Ayub pula kelihatan terlalu ‘fixated’ dan terlalu berharap dengan Umno yang tidak pasti dan yang ditolak oleh perwakilan PAN sendiri sehingga berulangkali menyebut ‘dengan Umno ini, dengan lain itu, kita usahakan untuk kita mendapatkan angka tapi masih belum berjaya’, ‘bila esok Umno boleh terima DAP landskap negara akan berubah’, ‘Umno telah mula menggamit DAP’ dan ‘kalau Umno sudah boleh mula menggamit DAP sokita akan buat beberapa mungkin kerjasama ya, satu ikatan baru dengan mana-mana parti politik’.

Masa sama, Datuk Seri Mukhriz Mahathir pula seperti biasa kelihatan agak keliru dengan idea ‘Grand Coalition’ ini sehingga boleh bertanya soalan seperti ‘kita ingin tahu kalau ada Grand Coalition ini’, malah turut bertanya soalan lain seperti ‘adakah ia melibatkan pihak ‘kluster mahkamah’, kalau ada puak-puak macam itu, maka kita tidak akan bersamalah’ sedangkan bukan Ahli-ahli Parlimen Umno sahaja yang berhadapan dengan kes-kes mahkamah malah Ahli-Ahli Parlimen pembangkang seperti Lim Guan Eng sendiri juga berhadapan dengan kes-kes mahkamah. Kesimpulannya, seperti tiada jalan idea ‘Grand Coalition’ pembangkang akan dapat dilaksanakan.

DR KAMARUL ZAMAN HAJI YUSOFF – HARAKAHDAILY 31/12/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -