Adaptasi norma, lestari ekonomi

- Advertisement -

PERUTUSAN Tahun Baharu 2021 Menteri Besar Terengganu Darul Iman

- Advertisement -

Alhamdulillah, kita panjatkan kesyukuran kepada Allah SWT kerana atas rahmat dan kurnia-Nya, tirai 2020 bakal berlabuh menandakan kita akan memasuki gerbang 2021.

Tahun 2020 merupakan tahun yang amat mencabar kerana dunia berdepan dengan pandemik COVID-19 sehingga mengubah hampir 360 darjah rutin kehidupan. Banyak sektor yang terkesan namun, agenda yang direncanakan pada 2020 tetap dilaksanakan walaupun dalam keadaan penuh kekangan dan kekurangan.

Lembaran tahun 2021 pula adalah fasa untuk kita mengadaptasi dengan COVID-19 kerana pengakhiran pandemik ini tidak dapat dijangka. Situasi ini menuntut pengorbanan fizikal dan mental semua. Tiada daya dan upaya melainkan dengan pertolongan Allah Azza Wa Jalla.

Kerajaan Negeri Terengganu juga telah bersedia dengan implikasi yang bakal dihadapi pada tahun hadapan termasuk pasaran harga minyak mentah dan komoditi yang tidak menentu. Untuk itu Kerajaan Negeri telah memperuntukan Belanjawan 2021 berjumlah RM1.375 bilion dengan pelbagai insentif.

Ini termasuklah RM20 juta untuk sektor pertanian dalam belanjawan Terengganu 2021 sempena Tahun Pertanian Negeri Terengganu seperti yang dititahkan oleh Sultan Terengganu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Mizan Zainal Abidin, pada 23 Mac yang lalu. Ia dijangka dapat terus merangsang landskap ekonomi rakyat negeri ini.

Di kesempatan ini, saya mengharapkan kerjasama dan perpaduan yang lebih utuh dalam kalangan kita kerana itu adalah tunjang kestabilan keselamatan dan ekonomi negeri mahupun negara. Terima kasih kepada barisan hadapan yang bertungkus-lumus bertugas tanpa henti demi menjaga rakyat Malaysia. Teguh kita, menang bersama.

Mewakili Kerajaan Negeri Terengganu, saya ingin mengucapkan Selamat Tahun Baharu 2021 kepada semua rakyat Terengganu dan Malaysia amnya.

‘Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera’

Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri bin Mokhtar
Menteri Besar Terengganu
31 Disember 2020. – HARAKAHDAILY 31/12/2020

- Advertisement -