2021 menjanjikan masa depan baik buat ummah

- Advertisement -

TAHUN 2020 sudah sampai ke penghujungnya. 29 tahun dahulu iaitu pada tahun 1991, Perdana Menteri ke-4 ketika itu iaitu Dato’ Seri Tun Dr Mahathir (Tun) telah melancarkan wawasan kerajaannya yang diberi nama Wawasan 2020. Wawasan ini bertujuan untuk meningkatkan Malaysia menjadi sebuah negara perindustrian dan negara maju sepenuhnya.

Itulah cita-cita Tun 29 tahun lalu, tetapi apa yang berlaku hari ini bukannya Malaysia menjadi negara maju sepenuhnya sebaliknya tahun 2020 menyaksikan beliau yang kembali sebagai PM ke-7 telah merobohkan kerajaannya sendiri kerana menghalang bekas Timbalan Perdana Menterinya dari naik menjadi Perdana Menteri.

Kerajaan Pakatan Harapan pimpinan Tun yang 22 bulan sebelumnya mencipta ‘upset’ dengan merebahkan Kerajaan BN di peringkat Persekutuan dan beberapa negeri, naik sarat dengan janji-janji melangit yang ternyata gagal mereka tepati sehingga mencetuskan kekecewaan rakyat. 

- Advertisement -

Dalam pada itu sengketa berebut kuasa antara Mahathir dan Anwar Ibrahim telah menggugat kestabilan kerajaan sehingga akhirnya ia mudah terlentang jatuh sebagaimana mudahnya ia naik atas fitnah dan janji-janji kosong 22 bulan sebelumnya.

Lantaran itu 2020 penuh dengan ketidakstabilan politik, kecelaruan dan ketidaktentuan, ia ditambah gawat lagi dengan penularan pandemik COVID-19 yang menyerang seluruh pelosok dunia. Selain 2020 akan direkodkan dalam sejarah sebagai tahun Kerajaan PH roboh, ia juga merekodkan naiknya sebuah kerajaan baru diberi nama Perikatan Nasional (PN) dengan majoriti yang tipis.

PN terbentuk atas robohan PH dan ia menggabungkan parti-parti utama iaitu parti-parti Melayu Islam terbesar dalam negara khasnya PAS dan Umno selain BERSATU dan parti-parti lain dari Borneo. PAS dan Umno setahun sebelumnya telah mencipta sejarah apabila menjalin permuafakatan iaitu kerjasama politik ke arah membina kesatuan ummah yang diberi nama Muafakat Nasional (MN).

Bermula dari itu landskap politik Malaysia telah berubah. Pilihan Raya Umum 2018 menyaksikan masyarakat bukan-Melayu bersatu menolak BN dan PAS dengan memberi kemenangan besar kepada PH yang didominasi DAP. Mereka begitu khayal dan taksub dengan pujukan manis DAP, maka naiklah kerajaan baru bertunjangkan kuasa politik bukan-Melayu buat pertama kali dalam sejarah. 

Perubahan ini menggugat segala status quo yang ada sehingga meletakkan kedudukan dan nasib umat Melayu Islam dalam keadaan yang tidak menentu malah tercabar. Ketika itu orang Melayu hilang kekuatan politiknya di peringkat arus perdana kerana tampuk kuasa sudah didominasi oleh yang lain.

Lalu apabila roboh Kerajaan PH, naiklah kuasa politik baru iaitu Kerajaan PN yang kali ini pula didominasi hampir sepenuhnya oleh kuasa politik Melayu Islam, di sinilah mulanya perubahan yang dimaksudkan. Mengapa kerajaan ini tidak punya wakil masyarakat bukan-Melayu kecuali terlalu kecil, jawapannya kerana kuasa politik bukan-Melayu kesemuanya menjulang dan menyokong PH lantas apabila PH kecundang, dan berlaku perubahan kuasa mereka tersepit di celah kelangkang DAP, akibatnya tiadalah kecuali sedikit perwakilan bukan-Melayu dalam kerajaan baru ini.

Hari ini, 2020 Kerajaan Persekutuan PN merupakan sebuah kerajaan didominasi parti-parti politik Melayu Islam, begitu juga kerajaan negeri-negeri termasuklah Kelantan, Terengganu, Pahang, Perlis, Kedah, Melaka, Johor dan Perak.

Bermula Mac 2020 landskap politik Malaysia dicorakkan oleh kuasa politik Melayu yang sepatutnya mengambil peluang memperkemas dan memperkasakan kembali hak dan kepentingan umat Melayu dan agama Islam yang telah tercalar sepanjang 22 bulan pemerintahan PH selain memberi jaminan dan perlindungan kepada masyarakat bukan-Melayu.

Inilah kekuatan baru kita iaitu penyatuan ummah berteraskan Islam. Ia menjadi mungkin hanya setelah kita sama-sama merasai dan menanggung keperitan lantaran kegagalan bersatu dan terus berbalah sebagaimana dalam PRU ke-14 lalu. Kealpaan dan ambil mudah kita mengakibatkan kaduk melompat naik junjung.

Mahukah kita kembali begitu? Mahukah kita kembali mengizinkan bumi bertuah warisan kita ini menjadi milik orang sebagaimana selepas PRU14 lalu?

Jika tidak maka bersamalah kita menghargai nikmat penyatuan anugerah Allah S.W.T ini. Bersamalah kita mendakap realiti politik hari ini, bersamalah kita memperkasakan Muafakat Nasional dan mempertahankan Perikatan Nasional.

2020 membuktikan walau kita punya banyak perbezaan dan sejarah lampau antara kita namun demi menyelamatkan negara dari terus kembali ke tangan mereka yang ekstrem, rasis, dan cauvinis yang mampu menggugat kedaulatan agama dan bangsa yang dicintai kita telah bersama berkorban mengenepikan apa sahaja perbezaan demi mendirikan Kerajaan Perikatan Nasional ini.

Kemudian walau kita berterusan memendam perbezaan, 2020 melihat PAS, Umno dan BERSATU selain parti-parti sekutu yang lain kekal mempertahankan kerajaan ini, dari Sidang Dewan yang pertama yang melantik Speaker baru sehinggalah meluluskan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Tidakkah ini menggerunkan musuh politik kita? Apabila kita bersatu teguh, musuh menjadi kecil dan hilang semangat. Tidakkah ini menjadi batu penghalang besar terhadap kembalinya berkuasa si Mat Jenin yang asyik bermain-main dengan kononnya angka dan sokongan luar biasanya? Apabila kita istiqamah datanglah apa muslihat dan helah apa sekalipun, semuanya mampu kita tentang dengan yakin.

Umat Melayu Islam khususnya yang berada di tampuk dan persada kuasa pada hari ini harus insaf dan menimbangkan sebaik-baiknya perancangan dan masa depan buat rakyat dan negara. Bukan mudah untuk kita menggerakkan penyatuan ini jika tidak didorong oleh kesedaran untuk tunduk pada perintah Allah S.W.T, maka bersyukurlah kita dan peliharanya baik-baik.

Cukuplah 2020 menjadi iktibar dan pengajaran besar buat kita. Jadikan ia pengalaman yang mendewasakan kita dalam membuat perhitungan dan percaturan demi menjamin berdaulatnya umat Melayu Islam di atas buminya sendiri buat selama-lamanya.

Kita semua punya tanggungjawab dan tugas yang besar yang menanti kita. Semoga 2021 kelak menjadi tahun yang menjanjikan masa depan yang sebaiknya buat kita semua. Yang penting jangan sekali-kali diizinkan si kadok kembali naik junjung.

Landskap politik baru dengan dominasi kuasa politik Melayu Islam ini ditunggu-tunggu oleh masyarakat jelata, kekal atau tidak bertahan ia tertakluk kepada kewarasan dan kebjiaksanaan semua pihak khasnya para pimpinan tertinggi kita.

Melangkah keluarlah 2020 yang cukup kontroversial itu, terima kasih atas segala pengalaman dan pengajaran. Melangkah masuk pula 2021, semoga ia lebih baik dan memuktamadkan kuasa politik Melayu Islam sebagai tonggak buat selama-lamanya.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 31/12/2020

- Advertisement -