PAS Perlis siap sedia hadapi PRU15

- Advertisement -

PADANG BESAR: PAS Perlis mempersiapkan jentera pilihan rayanya bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 yang kemungkinan diadakan pada bila-bila masa sahaja.

- Advertisement -

Pengarah Jabatan Pilihan Raya Negeri Perlis, Abdul Karim Mad Rejab berkata, tiga kawasan di Perlis telah mengadakan himpunan petugas-petugas pilihan raya.

Katanya, himpunan jentera pilihan raya diadakan bermula di Arau pada 28 November diikuti Kangar pada 6 Disember dan terakhir Padang Besar pada 27 Disember lalu.

“Gerak kerja pilihan raya di Perlis dimulakan sejak awal lagi selaras dengan arahan daripada PAS Pusat.

“Pada himpunan yang diadakan, petugas diberi kefahaman dan arahan untuk memulakan gerak kerja pilihan raya,” katanya di sini semalam.

Desas-desus PRU 15 diperkatakan banyak pihak dengan mengambil kira kedudukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sekarang yang hanya berbeza jumlah majoriti yang kecil.

Bagaimanapun, terdapat halangan utama untuk diadakan pilihan raya dalam masa terdekat memandangkan situasi pandemik Covid-19 yang melanda negara sekarang tidak menunjukkan pengurangan kes.

Malah, Pilihan Raya Kecil (PRK) yang sepatutnya diadakan di Parlimen Batu Sapi dan Gerik juga ditunda bagi mengelakkan penularan wabak tersebut.

Pada PRU lepas, PAS menguasai dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis iaitu di Sanglang dan Guar Sanji. Perlis, mempunyai 15 kawasan DUN dan tiga kawasan Parlimen.-HARAKAHDAILY 30/12/2020

- Advertisement -