KUFC pikat 2 pemain kelahiran Jepun

- Advertisement -

KOTA BHARU: Selepas Akira Higashiyama dan Yuki Tanigawa, Kelantan United FC (KUFC) kini menyambar seorang lagi pemain kelahiran Jepun iaitu Masashi Motoyama.

- Advertisement -

Perkara itu diumumkan Presiden KUFC Dato’ Che Abdullah Mat Nawi bagi melengkapkan perpindahan ketua jurulatih dan dua pemain import dalam skuad Kijang Hijau.

Lagenda bola sepak Jepun yang berusi 41 tahun itu dijangka tiba minggu hadapan selepas menjalani kuarantin selama 10 hari, sebelum memulakan latihan pada pertengahan Januari.

Motoyama sebelum ini pernah beraksi bersama kelab dalam liga tempatan di Jepun iaitu Kashima Antlers selama 18 tahun sebelum dilamar KUFC menerusi kerjasama strategik Yakult Malaysia.

Che Abdullah berkata, salinan kontrak sudah dihantar kepada pemain kelahiran Kitakyushu, Fukuoka itu untuk mendapatkan persetujuan dan menyatakan keputusannya malam ini atau esok.

Katanya, perkembangan itu akan menyuntik semangat, budaya serta disiplin orang Jepun untuk diperturunkan kepada pasukan KUFC untuk menghadapi saingan Liga Perdana Musim 2021.

“Kontrak sudah dihantar kepada Motoyama, dari segi lisan dia sudah menyatakan setuju dan dengan bantuan Yakult kita hampir pasti 99 peratus akan selesai,” katanya pada sidang media sempena majlis berkenaan hari ini.

Pada perkembangan sama Yakult Malaysia menandatangani perjanjian kerjasama strategik bersama KUFC dengan nilai tajaan sebanyak RM250,000.

Pada perjanjian itu KUFC diwakili Che Abdullah manakala Pengarah Urusan Yakult Malaysia Hiroshi Hamada mewakili syarikat terbabit.- HARAKAHDAILY 30/12/2020

- Advertisement -