80 peratus pelajar YIK ikuti pembelajaran ‘online’

- Advertisement -

KOTA BHARU: Yayasan Islam Kelantan (YIK) menganggarkan 80 peratus dari 40,000 pelajarnya mengikuti pengajian dan pembelajaran atas talian.

- Advertisement -

Timbalan Pengarah (Akademik) YIK, Ustaz Mohd Zaki Deraman berkata, usaha itu dibuat sebagai mematuhi arahan terkandung dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, antara strategi yang dilakukan ialah mewujudkan Jurulatih Utama (JU) dalam kalangan tenaga pengajar bagi melaksanakan proses pembelajaran.

“Pembelajaran atas talian kita kendali melalui JU. JU dilantik dalam kalangan guru-guru YIK. Guru pula mengajar kepada pelajar melalui atas talian.

“Kita bersyukur alhamdulillah nak kata semua pelajar bagi komitmen itu tidaklah, kita anggar sebanyak 80 peratus pelajar mengikuti pengajian atas talian,” katanya di sini semalam.

Beliau ditemui selepas majlis pelancaran buku panduan pelaksanaan Dasar Pendidikan Rabbani Kelantan (DPRK) 2021 di sebuah hotel di Bandar Baru Tunjong di sini semalam.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Exco Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan.

Turut hadir Timbalan Exco, Ustaz Azhar Salleh; Pengarah YIK Engku Rajhan Engku Ismail dan Pemangku Pengarah Intitut Latihan Perguruan Ustaz Zulkifli Yusof.

Semua sekolah dan institusi pengajian tinggi di negara ini ditutup ekoran penularan semula wabak Covid-19 yang melanda seluruh dunia sekarang.-HARAKAHDAILY 30/12/2020

- Advertisement -