Presiden PAN hina Negara-negara Islam?

- Advertisement -

TERKEJUT juga menonton ucapan penggulungan Presiden PAN di Konvensyen Tahunan PAN Nasional pada 27 Disember 2020 dalam mana beliau hebat menyelar Negara-negara Islam, khususnya Negara-negara Arab.

Antara lain, kata Presiden PAN: ‘Sekarang ini hampir semua Negara Islam ‘failed state’. Tidak hormat hak asasi, dipenjarakan kadang bertahun-tahun tidak dibicarakan, tak ada SOP dalam lokap-lokap di Negara Arab.’ Kata beliau lagi: ‘Soal keadilan sosial, kemakmuran sosial, tidak menjadi agenda di negara-negara orang Islam.’ Tanya beliau: ‘Tak adakah ulamak dalam negara mereka?’

Antara Negara-negara Arab yang menjadi sasaran utama beliau ialah Negara Mesir. Kata beliau: ‘Mesir, kilang mengeluarkan ulamak, di situlah ‘failed state’.’ Tambah beliau lagi: ‘Kalau kita pergi ke Mesir, kita tengok orang lelaki anak-anak muda nak kencing menghadap ke dinding, kencing ke dinding. Kalau kita naik perahu, depan kita dia buka zip pung dia kencing. Sedangkan Universiti Al-Azhar ada di situ yang melahirkan puluhan ribu ulamak-ulamak Islam.’

- Advertisement -

Sebuah lagi Negara Arab yang menjadi sasaran utama beliau ialah Negara Iraq. Kata beliau: ‘Saya pergi ke Baghdad, ya memang lah selepas perang, bila saya bersedekah di suatu tempat saya jadi ‘Ka’abah’, dikelilingi oleh ramai anak yatim piatu dalam keadaan miskin sedangkan negeri itu pengeluar minyak yang keempat dalam dunia.’

Tidak salah untuk bercerita mengenai masalah yang dihadapi oleh umat Islam dan Negara-negara Islam tetapi janganlah sampai ke tahap boleh dianggap menghina mereka.

Tidak akan terlukakah perasaan rakyat dan pemimpin negara kita jika pemimpin Negara-negara Islam lain yang bercerita begitu memburuk-burukkan rakyat dan negara kita?

Presiden PAN akui NGO-NGO tak bersama PH

Menarik juga mendengar pengakuan terbuka Presiden PAN di dalam ucapan penggulungan beliau di Konvensyen Tahunan PAN Nasional pada 27 Disember 2020 bahawa NGO-NGO kini sudah tidak bersama dengan Pakatan Harapan.

Ini pengakuan terbuka beliau tersebut: ‘Saya bimbang sekarang NGO ini agak tidak berapa galak dengan Pakatan Harapan. Kita mesti menemui mereka, bincang semula dengan mereka, sebab NGO ini boleh menggerakkan orang non-partisan.’

Mengapa NGO-NGO kini sudah tidak bersama dengan Pakatan Harapan dan bila NGO-NGO ini sudah tidak bersama dengan Pakatan Harapan apakah NGO-NGO yang sudah tidak bersama dengan Pakatan Harapan ini didekati oleh lawan-lawan Pakatan Harapan?

Majlis Penasihat PAN yang kena nasihat

Perlembagaan PAN memperuntukkan penubuhan Majlis Penasihat Pakar (MPP) yang tugas dan fungsinya adalah ‘membincang, menganalisis, menyediakan laporan dan mencadangkan kepada Jawatankuasa Pimpinan Nasional apa-apa idea, pendapat dan nasihat berhubung dengan dasar dan perjalanan operasi parti’.

Malangnya, yang kita nampak di Konvensyen Tahunan PAN Nasional pada 27 Disember 2020 Majlis Penasihat Pakar yang diketuai oleh Dato’ Seri Ustaz Ahmad Awang ini bukan memberi nasihat tetapi ia sebaliknya diberi nasihat, atau dalam bahasa kasarnya ditegur, oleh Presiden PAN di dalam ucapan penggulungan beliau.

Ini teguran Presiden PAN tersebut: ‘NUNJI dan Majlis Penasihat Umum, Ustaz Ahmad Awang, Datuk Seri kita, dan lain-lain, biarlah dalam hal fatwa ini betul-betul masak baru keluarkan… NUNJI kita, Majlis Penasihat kita, dalam hal-hal fatwa ini, kena berjaga-jaga, sahih betul-betul baru keluar… Perkara-perkara yang bersangkut-paut dengan hukum, terutama sekali perkara yang tidak berapa sahih, biar bincang, kalau boleh bincang juga dengan ulamak-ulamak peringkat Antarabangsa sebelum kita buat sesuatu keputusan…”

Terbalik kut sungguh PAN ini bila yang sepatutnya memberi nasihat pula yang diberi nasihat dan bila yang sepatutnya diberi nasihat pula yang memberi nasihat.

DR KAMARUL ZAMAN HAJI YUSOFF – HARAKAHDAILY 29/12/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -