RM223.8 juta ekuiti tempatan dibeli pelabur asing

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kalangan pelabur asing kembali ke pasaran tempatan sebagai pembeli bersih bagi tempoh dagangan singkat 21-24 Disember 2020, apabila membeli sejumlah RM223.8 juta ekuiti tempatan berbanding jualan RM178.8 juta pada minggu sebelumnya.

Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Adam Mohamed Rahim berkata, bursa tempatan memulakan minggu lepas dengan aliran keluar dana asing bersih apabila pelabur asing menjual RM32.0 juta ekuiti tempatan pada Isnin.

“Kebimbangan mengenai sekatan pergerakan terus mempengaruhi sentimen di pelbagai pelosok dunia pada Isnin lepas. Ini bermula dengan kemungkinan perluasan perintah sekatan pergerakan di Thailand apabila pihak berkuasa kesihatan negara itu bertindak menjejaki lebih 10,000 orang berkaitan dengan kluster kes jangkitan COVID-19 yang tinggi dan ditemui di kawasan persisiran pantai berhampiran Bangkok.

- Advertisement -

“Di kawasan luar Asia, perintah sekatan pergerakan telah dikuatkuasakan di London dan Tenggara England pada Ahad dalam usaha membendung varian baharu COVID-19 yang mudah merebak,” katanya kepada Bernama.

Menurut Adam, pelabur Antarabangsa meningkatkan aktiviti jualan pada Selasa dengan melepaskan RM68.6 juta ekuiti tempatan ketika varian di United Kingdom (UK) terbukti menguasai sentimen pasaran secara menyeluruh.

Selain itu, Taiwan melaporkan kes jangkitan COVID-19 pertama tempatannya selepas lapan bulan, sekali gus mengakhiri status sebagai negara dengan tempoh paling lama di dunia dari segi tidak mencatat sebarang jangkitan tempatan.

Beliau berkata, para pelabur juga tidak mengendahkan laporan media mengenai kelulusan pakej menyelamat kedua terbesar dalam sejarah Amerika Syarikat (AS), selepas pertikaian berbulan-bulan lamanya antara pihak Demokrat dan Republikan.

Pada Rabu, kalangan pelabur luar pesisir menjadi pembeli bersih ekuiti tempatan benilai RM265.1 juta – angka tertinggi aliran masuk dana asing bersih dalam tempoh sehari setakat ini.

“Mungkin para pelabur memutuskan untuk melakukan aktiviti pembelian saham berharga rendah sebelum Krismas yang menyaksikan indeks petunjuk utama FBM KLCI meningkat sebanyak 1.0 peratus kepada 1,647.5 mata selepas mengalami penyusutan selama empat hari berturut-turut.

“Rasa bimbang mengenai varian baharu COVID-19 yang muncul di UK telah menyebabkan beberapa negara seperti Korea Selatan dan Filipina bertindak menggantung sementara semua penerbangan dari UK. Ini hanya menambah tekanan terhadap industri penerbangan yang sememangnya telah terjejas,” katanya.

Dalam pada itu, usaha pembelian oleh pelabur asing berterusan pada Khamis pada jumlah lebih kecil sebanyak RM59.3 juta menjelang hujung minggu yang panjang bersempena cuti umum Krismas pada Jumaat.

Aktiviti belian pada Khamis berkemungkinan besar didorong oleh laporan media mengenai perunding Brexit mencapai persetujuan awal berhubung kerangka perjanjian perdagangan pasca-Brexit.

Di peringkat domestik, sentimen pelabur telah dipacu oleh tindakan Kerajaan Malaysia yang berhasrat mendapatkan 6.4 juta dos tambahan vaksin COVID-19 daripada AstraZeneca menerusi kemudahan global Covax manakala rundingan dengan Pfizer pada masa sama, dalam usaha meningkatkan pembelian vaksin tersebut.

“Setakat ini, para pelabur asing telah menjual ekuiti bernilai RM24.6 bilion bersih pada tahun ini.

“Dari segi penyertaan minggu itu, pelabur asing membataskan aktiviti berikutan musim perayaan dengan purata nilai dagangan harian susut di bawah paras RM1.0 bilion iaitu pada RM894.4 juta,” katanya.

Menurut Adam, dalam kalangan negara-negara ASEAN, Malaysia kekal sebagai negara dengan aliran keluar dana asing kedua tertinggi selepas Thailand. – BERNAMA

- Advertisement -