YADIM sedia gerak sukarelawan pasca banjir

- Advertisement -

TUMPAT : Seramai 370 sukarelawan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Kelantan bersedia untuk digerakkan pasca banjir di negeri itu.

- Advertisement -

Pengarah YADIM Kelantan, Ustaz Mahadi Awang berkata, mereka akan diberi tugas untuk mencuci masjid dan surau yang terjejas dengan bencana itu.

Menurut beliau, sehingga kini lebih 20 buah rumah ibadah Islam yang terlibat melibatkan daerah Kuala Krai, Tumpat dan Tanah Merah.

“Program cuci-cuci ini dibawah program teras kita iaitu YADIM Lestari yang kini kita memberi tumpuan pada masjid dan surau terjejas dengan banjir.

“Kita sentiasa memantau situasi banjir di Kelantan khususnya yang melibatkan masjid dan surau, kita ada 370 sukarelawan yang bersedia untuk diarahkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis YADIM Lestari dan Musa’adah di Surau Tok Janggut Pasir Pekan Hilir di sini, pagi tadi.

Turut hadir, Timbalan Pengarah YADIM Kelantan, Yusnita Muhamad Yusoff dan Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Pasir Pekan Hilir, Abdullah Ismail.

Pada majlis turut disampaikan barangan keperluan kepada 25 asnaf dan individu terjejas dengan penularan wabak Covid-19 dibawah bantuan Musa’adah.

Mahadi berkata lagi, seramai 3,200 keluarga memerlukan di Kelantan sudah menerima manfaat dari program tersebut sejak dilaksanakan pada Mac lalu.

Menurutnya, YADIM mempunyai lima program teras iaitu Lestari, Peduli, Maya, Interaktif dan Murabbi yang melibatkan program kebajikan dan dakwah.

Sepanjang tahun 2020 sahaja kata beliau, sebanyak RM200,000 dibelanjakan bagi melaksanakan semua program teras YADIM di Kelantan termasuk aktiviti pasca banjir. – HARAKAHDAILY 26/12/2020

- Advertisement -