Liqa’ Fikri PAS Pusat melalui norma baru

- Advertisement -

TENGAH HARI ini selesai satu lagi program dalaman parti PAS melalui Lajnah Tarbiah PAS Pusat iaitu Liqa’ Fikri.

- Advertisement -

Bagi mereka di luar parti, maksud Liqa’ ialah pertemuan. Fikri pula bermakna pemikiran. Justeru Liqa’ Fikri bermakna pertemuan bagi menyatukan cara berfikir, terutamanya pemimpin PAS di semua peringkat.

Ia penting bagi kesinambungan perjuangan PAS yang meletakkan matlamat menegakkan agama Islam hingga berdaulat dengan erti kata sebenar.

Apatah lagi dalam keadaan PAS membuat taawun siyasi dengan Umno, PPBM dan lain-lain parti dalam gabungan MN dan PN, kesatuan fikrah, cara berfikir dan bertindak mesti selaras dengan apa yang dikehendaki oleh pimpinan parti.

Program dibuat melalui webinar yang mengumpulkan hampir 2,000 peserta melalui alam maya. YB Senator Ustaz Idris menyebutkan 22 perkara penting yang mesti dipegang oleh setiap pimpinan parti.

Antaranya arahan didengar mesti dari pimpinan atasan dan PAS mesti menjadi pendamai dalam gabungan ini.

Pembentangan Tok Guru kali ini berfokus kepada meneguhkan PN dan MN yang dianggotai oleh PAS bersama parti lain.

Pengisian dalam setengah jam pertama menyentuh secara umum konsep pemerintahan Islam, kegagalan ideologi manusia, bagaimana Nabi menegakkan agama dan pemerintahan dengan mendahulukan umat Islam dan menjinakkan mereka dengan Islam serta apa yang PAS buat bagi menuruti jejak langkah dari Nabi tersebut.

Ketika sesi soal-jawab, lebih dari 20 soalan mengenai tajuk yang dibincang serta yang lain, dikemukakan oleh peserta secara maya.

Tok Guru menjawab dengan sangat baik, sambil mengambil petunjuk dari Quran, Hadis, Sirah, perjalanan khulafa ar-Rashidin sebagai panduan dan pedoman, lalu diaplikasikan dengan suasana politik semasa.

Kata orang Terengganu: ‘kemah molek’. Bagi penentang PAS, mereka selalu menyindir: “Tok Guru akan mencari dalil untuk membenarkan tindakan politiknya”.

Kita menjawab: “Kalau tidak dari sumber-sumber berotoriti tadi, dari mana lagi mahu diambil hujah dan dalil?”.

Di hujung diskusi, Tok Guru menyebut, lebih kurang bunyinya:
“Allah beri kemenangan apabila kita layak terima kemenangan. Kemenangan yang menyebabkan kita mendapat pahala, dan kebaikan dunia. Bukannya kemenangan yang merosakkan kita dunia dan akhirat. Inilah yang membezakan kita dalam berjemaah dan bergerak, dengan perjuangan orang lain, “.

NIK MUHAMMAD NASRI BIN NIK MALEK
Pegawai Khas (Agama) Pejabat Menteri Besar Terengganu/
Ketua Lajnah Tarbiah PAS Kemaman. – HARAKAHDAILY 26/12/2020

- Advertisement -