Titah dijunjung, tanggungjawab digalas

الحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه ومن والاه

Advertisement

AMANAH adalah tanggungjawab yang akan dipersoal di akhirat kelak. Ia bukanlah kedudukan dan kemuliaan, sebaliknya bebanan perlu dipikul. Antara teguran Nabi S.A.W terhadap Abdurrahman bin Samurah yang wajar kita jadikan pedoman:

يَا عَبدَالرَّحمن بن سمُرَةَ، لا تَسْأَل الإمارَةَ؛ فَإنَّكَ إن أُعْطِيتَها عَن غَيْرِ مسأَلَةٍ أُعِنْتَ علَيها، وَإنْ أُعْطِيتَها عَن مسأَلةٍ وُكِلْتَ إلَيْها، وإذَا حَلَفْتَ عَلى يَمِينٍ فَرَأَيتَ غَيرها خَيرًا مِنهَا؛ فَأْتِ الَّذِي هُو خيرٌ، وكفِّر عَن يَمينِكَ

“Wahai Abdurrahman, janganlah engkau minta kekuasaan, kerana apabila engkau diberi kekuasaan setelah memintanya, engkau akan dibiarkan tanpa pertolongan dari Allah. Namun, apabila engkau diberi kekuasaan tanpa memintanya, nescaya Allah akan menolongmu menjalankan kekuasaan itu. Apabila bersumpah atas sesuatu, lalu mendapatkan yang lebih baik darinya, kerjakan yang lebih baik itu dan bayarlah kafarat sumpahmu.”
 

(Muttafaq Alaih)

Allah S.W.T berfirman:

تِلْكَ الدَّارُ الْآخِرَةُ نَجْعَلُهَا لِلَّذِينَ لا يُرِيدُونَ عُلُوًّا فِي الأَرْضِ وَلا فَسَادًا وَالْعَاقِبَةُ لِلْمُتَّقِينَ

“Negeri akhirat (yang telah diterangkan nikmat-nikmatnya) itu, Kami sediakan bagi orang-orang yang tidak bertujuan hendak mendapat pengaruh atau kelebihan di muka bumi dan tidak ingat hendak melakukan kerosakan; dan kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertakwa.”

Atas perkenan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Perak, sekali lagi saya diamanahkan untuk menggalas tugas menguruskan Negeri Darul Redzuan yang sejahtera ini sebagai ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri. Patik menjunjung kasih Tuanku.

Terima kasih juga kepada YAB Menteri Besar Perak atas kepercayaan yang diberikan untuk mengemudi portfolioKesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau. Sungguh ia bukanlah tugas yang ringan. Namun demi kesejahteraan rakyat, amanah ini akan ditunaikan sedaya upaya yang ada.

Tanggungjawab ini bukanlah tugasan yang mudah. Berbekal keyakinan terhadap sabdaan Baginda S.A.W bahawa mereka yang tidak meminta diberi kekuasaan pasti akan dibantu Allah S.W.T, insya-Allah saya akan cuba dengan sebaiknya.

Ibnu Khaldun di dalam kitab المقدمة  menghuraikan mengenai konsep negara yang unggul. Dalam bab kebersihan, beliau mengutamakan kebersihan sungai sebagai sumber air, dan kebersihan udara sebagai sumber pernafasan. 

Kedua-dua ini adalah keperluan yang ضروري  bagi seseorang manusia. Negara yang baik menurut beliau, perlu mengutamakan aspek keselamatan dan kebersihan untuk mencapai maqasid sebagai sebuah negara.

Kesihatan dan kebersihan adalah salah satu perkara yang dititik beratkan Islam. Sabda Rasulullah S.A.W:

اَلْمُؤْمِنُ اَلْقَوِيُّ خَيْرٌ وَأَحَبُّ إِلىَ اللَّهِ مِنَ الْمُؤْمِنِ الضَّعِيْفِ، وَفِيْ كُلٍّ خَيْرٍ، اِحْرِصْ عَلىَ ماَ يَنْفَعُكَ، وَاسْتَعِنْ بِاللَّهِ وَلاَ تَعْجِزْ، وَإِنْ أَصَابَكَ شَيْءٌ فَلاَ تَقُلْ لَوْ أَنِّيْ فَعَلْتُ كَانَ كَذَا وَكَذَا، وَلَكِنْ قُلْ: قَدَّرَ اللَّهُ وَماَ شَاءَ فَعَلَ، فَإِنَّ لَوْ تَـفْتَـحُ عَمَلَ الشَّيْطَانِ.” أَخْرَجَهُ مُسْلِمٌ .

“Orang Mukmin yang kuat itu lebih baik dan lebih dicintai oleh Allah daripada orang Mukmin yang lemah, namun pada masing-masing (dari keduanya) ada kebaikan. Bersemangatlah terhadap hal-hal yang berguna bagimu, mohonlah pertolongan kepada Allah, dan jangan menjadi lemah. Jika kamu ditimpa sesuatu, jangan berkata seandainya aku berbuat begini, maka akan begini dan begitu, tetapi katakanlah Allah telah menakdirkan, dan kehendak oleh Allah pasti dilakukan. Sebab kata ‘seandainya’ itu dapat membuka perbuatan syaitan.”

(Hadis Riwayat Muslim)

Sains pula memang tidak dapat dipisahkan dengan Islam. Nas al-Quran dan Sunnah sarat dengan petunjuk-petunjuk saintifik yang diperintahkan untuk kita mengkaji seterusnya memanfaatkannya demi kehidupan yang lebih sejahtera. Sabda Rasulullah S.A.W:

تفكروا في آلاء الله ولا تتفكرا في الله

“Bertafakkurlah mengenai ciptaan Allah, jangan bertafakur mengenai Allah.”

(Hadis Riwayat at Thabroni)

Ibnu Khaldun turut menghuraikan keutamaan nyawa rakyat untuk membina negara. Iaitu dengan membina intelektual. Ini kerana nak bangunkan negara perlu ada orang sebagai sumber tenaga. Kalau duit banyak, tapi tiada sumber manusia, negara itu akan gagal.

Berbincang mengenai alam sekitar dan teknologi hijau, ia umpama dua sisi syiling yang sama. Dalam mengejar kemajuan material tanpa mengabaikan soal kelestarian alam sekitar, teknologi hijau adalah solusinya. Sememangnya alam ini diciptakan untuk manfaat manusia, namun ia perlu diuruskan dengan sebaiknya agar sumber-sumber alami terus terpelihara untuk generasi mendatang.

Dalam Belanjawan Negeri Perak yang dibentangkan baru-baru ini, tumpuan untuk menjaga kelestarian alam sekitar sebanyak RM48.8 juta yang diperuntukkan untuk 2021. Ia meliputi RM41.6 juta belanja mengurus Jabatan Perhutanan dan RM3 juta belanja pembangunan, RM3 juta bagi inisiatif GreenPrint, dan sebagainya.

Ia juga termasuk RM3 juta untuk penyelenggaraan Tapak Repositori Mukim Belanja Daerah Kinta, Program Kitar Semula, Program Pemuliharaan Pantai dan Kawasan Tadahan, Program Sungai Angkat Perakku Jernih, pemerkasaan Teknologi Hijau, pemberian insentif RM500 kepada Kelab Alam Sekitar di Sekolah, pemberian insentif RM3,000 kepada Kelab Alam Sekitar di IPT.

Kerjasama dari kakitangan kerajaan sama ada dari agensi pusat mahupun kerajaan negeri amatlah diharapkan bagi melicinkan tugas ini. Sumbang saran rakyat jelata juga diperlukan agar agenda-agenda kesihatan, sains, alam sekitar dan teknologi hijau berjalan secara holistik dan komprehensif.

Allah S.W.T mengarahkan manusia untuk menguruskan bumi dengan sistem yang teratur mengikut ketetapanNya. Allah S.W.T berfirman:

هُوَ أَنشَأَكُم مِّنَ الْأَرْضِ وَاسْتَعْمَرَكُمْ فِيهَا 

“Dia lah yang menjadikan kamu dari bahan-bahan bumi, serta menghendaki kamu memakmurkannya.”

(Hud : 61)

Semoga Allah memberi kekuatan kepada saya untuk memikul tanggungjawab besar ini. 

YB MOHD AKMAL HJ KAMARUDIN
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau – HARAKAHDAILY 24/12/2020