Kesan sampingan vaksin sembuh dalam tempoh segera

- Advertisement -

PERTAMA sekali, nasihat ikhlas saya pada ‘Ustaz UK’ itu supaya tak perlu menggelabah tak memasal. Memang dah nampak gaya dapat maklumat pun dari antivaksin juga dan beliau mungkin antara yang tidak akan cucuk vaksin. Kalau tak nak vaksin baik duduk diam saja-lah, tak payah menakutkan orang lain dengan kenyataan yang tidak tepat itu.

Vaksin yang diberikan bukan kepada semua orang. Dekat UK vaksin COVID-19 bukan wajib dan siapa yang tak nak tidak akan dipaksa cucuk. Lagipun kriteria ketat telah pun diwujudkan terhadap golongan berisiko alergi, individu berpenyakit kronik dan beberapa syarat lain lagi tidak diminta untuk cucuk vaksin. Usah bimbang ya Ustaz! 

- Advertisement -

Keduanya, inilah masalah yang selalu timbul di kalangan antivaksin; mereka membaca dokumen rasmi tetapi tidak tahu butiran lanjut makna sebenar apa yang dicatat itu. Kemudian membuat andaian sendiri bahawa sudah ribuan manusia cacat atau mati akibat vaksin COVID-19. 

Dokumen ringkas hasil pembentangan Dr Thomas Clark itu sudah tentu dihuraikan lanjut semasa pembentangan. Data-data berkaitan kes pun tersedia wujud dalam laman web rasmi. Makna ‘Health Impact Events’ itu bukan cacat seperti dakwaan beliau yang membuat andaian jahat. Ya betul terdapat AEFI yang memerlukan rawatan lanjut tetapi ianya bukan menjadikannya serius sehingga diberhentikan seluruh program vaksinasi. 

Siapa yang akan menilai keseriusan kesan sampingan vaksin? Sudah pasti pakar-pakar yang akan menilainya dan akhirnya memberikan solusi untuk penambahbaikan. Bukannya ‘Ustaz UK’ yang hanya membaca melalui layar komputer!

Bahkan Pfizer/BioNtec sendiri mengeluarkan kenyataan rasmi bahawa dalam kajian klinikal yang telah dan sedang berjalan sekarang ini AEFI (dari jumlah kecil itu) termasuk:
(1) Sakit tempat cucuk (84.1 peratus), 
(2) Letih atau lesu (62.9 peratus), 
(3) Pening kepala (55.1 peratus), 
(4) Sakit urat (38.3 peratus), 
(5) Menggeletar (31.9 peratus), 
(6) Sakit sendi (23.6 peratus), 
(7) Demam (14.2 peratus), 
(8) Bengkak tempat cucuk (10.5 peratus), 
(9) Merah tempat cucuk (9.5 peratus), 
(10) Loya (1.1 peratus), 
(11) Tidak rok (0.5 peratus), 
(12) Bengkak kelenjar (0.3 peratus).

Kesemuanya itu sembuh dalam tempoh segera. Tiada komplikasi tambahan selepas itu. Sudah sememangnya gejala di atas itu memerlukan rawatan perubatan dan pemantauan. Bukannya dibiarkan sahaja. Pesakit yang hamil selepas cucuk vaksin COVID-19 itu tak nak buat ulasan terkejut ke?

Dalam perkembangan terbaharu, Amerika Syarikat beli lagi 100 juta dos vaksin Pfizer/BioNtec. Andai kata AEFI yang dipaparkan itu serius sangat sudah pasti mereka menghentikan terus semua operasi. Mereka tak percaya pun momokan liar ‘Ustaz UK’ itu.

Akhir sekali, nasihat saya kepada semua supaya jangan percaya dakyah antivaksin yang sememangnya dengki manusia semakin baik kehidupan masa depan. Pakar-pakar yang bertungkus lumus menyelesaikan wabak ini saban waktu memikirkan bagaimana kaedah terbaik untuk disajikan kepada masyarakat seluruh dunia. Jangan terpengaruh dengan segelintir manusia yang anti kepada segala-galanya. Itulah lumrah kehidupan.

DR SUHAZELI ABDULLAH 
Pakar Perubatan Keluarga
Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – HARAKAHDAILY 24/12/2020

Rujukan:
(1) FDA Briefing Document Pfizer-BioNTech COVID-19 Vaccine. Vaccines and Related Biological Products Advisory Committee Meeting December 10, 2020.
(2) Thomas Clark. Anaphylaxis Following m-RNA COVID-19 Vaccine Receipt. CDC Presentaion on December 19, 2020.
(3) Amy Rose. Media Release. BioNTech SE: Pfizer and BioNTech to Supply the U.S. with 100 Million Additional Doses of COVID-19 Vaccine. Bloomberg. Dec 23, 2020.

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -