Amilin mesti eratkan perhatian kepada para asnaf

- Advertisement -

TEMERLOH: Peranan amilin PAS di Cawangan untuk cakna dan prihatin terhadap warga penduduk setempat yang memerlukan perhatian terutama golongan asnaf amatlah penting.

- Advertisement -

Naib Ketua Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Salamiah Mohd Nor berkata, tanggungjawab tersebut perlu disusun dan diselaraskan bersama Ahli Jawatankuasa PAS Cawangan.

Jelasnya, peranan itu sebagai memenuhi taklifan Allah kepada orang beriman, selain menjadi medan menjalinkan hubungan antara PAS bersama penduduk terutama golongan asnaf.

Beliau berkata demikian semasa mengikuti program Prihatin Rakyat menziarahi dan menyampaikan sumbangan kepada warga asnaf di sekitar perkampungan tradisi Lanchang, di sini semalam.

Turut serta sama pada program rutin ini adalah Ahli Jawatankuasa Muslimat PAS Kawasan Temerloh, Zakiah Derani dan Timbalan Ketua Muslimat PAS Cawangan Mempatih, Fadilah Ahmad.

Menurut Ustazah Salamiah juga, menerusi program seperti ini, para amilin dan ahli jawatankuasa PAS Cawangan dapat menyelami dan menyaksikan sendiri denyut nadi kehidupan golongan tersebut.

Beliau yang juga Ketua Muslimat PAS Negeri Pahang berharap agar usaha sedemikian juga akan menemukan lebih ramai lagi golongan memerlukan bantuan untuk diberi perhatian.

Rata-rata yang dikunjungi dan menerima sumbangan menzahirkan rasa terharu atas perhatian dan keptihatinan Muslimat PAS kepada mereka. – HARAKAHDAILY 24/12/2020

- Advertisement -