Agong terima menghadap wakil Kerajaan UAE

- Advertisement -

ABU DHABI 24 Disember 2020 – Adalah dimaklumkan bahawa KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah telah berkenan menerima menghadap Menteri Kesihatan dan Prevensi Emiriah Arab Bersatu (UAE), Tuan Yang Terutama Dr. Abdul Rahman bin Mohammed Al Owais di Emirates Palace semalam (23 Disember 2020).

Dalam sesi yang berlangsung selama 45 minit dari jam 2 petang (waktu tempatan) ini, Al-Sultan Abdullah turut berkenan membincangkan hasrat Kerajaan UAE untuk menyumbang vaksin COVID-19 kepada Malaysia antara Iain bagi tujuan kajian klinikal di negara ini.

- Advertisement -

Al Sultan Abdullah menzahirkan setinggi penghargaan kepada Dr. Abdul Rahman dan Kerajaan UAE di atas hasrat tersebut.

Kendatipun begitu, Seri Paduka Baginda menyatakan bahawa beberapa proses perlu diambilkira bagi mengetahui kebolehlaksanaan kajian klinikal di Malaysia, khususnya menerusi Pusat Penyelidikan Klinikal, Institut Penyelidikan Klinikal dan Bahagian Regulatori Farmasi Negara sebelum sebarang vaksin diterima masuk ke Malaysia.

Sesi menghadap ini adalah salah satu acara dalam lawatan khas lima hari Seri Paduka Baginda ke Abu Dhabi, UAE.

Hasrat sumbangan vaksin COVID-19 dan lawatan khas ini mencerminkan hubungan dua hala yang kukuh dan erat yang telah terjalin di antara kedua-dua negara. lanya juga menunjukkan Malaysia dan UAE bersama berganding bahu dalam usaha memerangi wabak COVID-19 dan juga kerjasama pemulihan pasca COVID-19.

Al-Sultan Abdullah juga telah berkenan melakukan kunjungan mesra terhadap Putera Mahkota Abu Dhabi, Yang Mulia Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan di kediaman resminya pada 22 Disember 2020.

Lawatan khas ini adalah atas persilaan Sheikh Mohamed dan Al-Sultan Abdullah dijadualkan berangkat pulang ke tanah air esok, Jumaat, 25 Disember 2020.

DATO’ INDERA AHMAD FADIL SHAMSUDDIN
Datuk Pengelola Bijaya Diraja
Istana Negara – HARAKAHDAILY 24/12/2020

- Advertisement -