Kos vaksin COVID-19 masih bawah RM3 bilion

Untuk 70 peratus daripada 32 juta rakyat Malaysia

- Advertisement -

SAYA memandang serius dakwaan yang dibuat di dalam Facebook Zaharin Mohd Yasin yang menyatakan ‘Kerajaan Malaysia membayar RM3 bilion untuk 10 juta vaksin’.

Setakat ini kerajaan melalui Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin JKJAV telah memuktamadkan pembelian 10 peratus vaksin COVID-19 melalui COVAX dan 20 peratus dari Pfizer. Selain COVAX dan Pfizer, kerajaan juga sedang berunding secara terus dan tidak melalui mana-mana pihak ketiga dengan beberapa pengeluar lain yang telahpun melalui ujian klinikal fasa 3 dan sedang dalam proses kelulusan Badan Kawal Selia Farmaseutikal yang diiktiraf Antarabangsa. Semua vaksin ini perlu mendapat kelulusan National Pharmaceutical Regulatory Agency di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia sebelum boleh digunakan pada rakyat Malaysia.

- Advertisement -

Kerajaan memutuskan untuk membeli vaksin COVID-19 yang cukup untuk 70 peratus dari 32 juta rakyat Malaysia. Seperti telahpun diumumkan dalam Belanjawan 2021, kerajaan memperuntukkan RM3 bilion untuk tujuan itu.

Saya ingin memaklumkan setakat rundingan yang telah dimuktamadkan dengan Pfizer, COVAX dan Insya-Allah hari ini dijangka dengan Astrazeneca, dan beberapa lagi calon vaksin yang sedang dirundingkan bagi mencukupkan 70 peratus dari 32 juta rakyat Malaysia, jumlah nilai harga vaksin COVID-19 yang berkenaan adalah lebih rendah daripada pada RM3 bilion yang diperuntukkan.

Secara umumnya MOSTI telah secara konsisten menjawab di Parlimen Malaysia bahawa kos vaksin COVID-19 untuk setiap orang dianggarkan sekitar USD21 iaitu di bawah RM100 seorang sama ada perlu satu atau dua dos. Dakwaan oleh Facebook Zaharin ini adalah salah dan jauh menyeleweng dan berunsur fitnah kepada Kerajaan Perikatan Nasional.

YB HAJI AHMAD AMZAD HASHIM
Timbalan Menteri Sains Teknologi dan Inovasi
21 Disember 2020 – HARAKAHDAILY 21/12/2020

- Advertisement -