Berhati-hati, moga jejak mereka tidak diikuti

CERITA dulu-dulu, ketika mereka masih ada dalam PAS. Banyak kerja-kerja pelik yang mereka buat. Sehingga tiada beza dengan parti Sekular. 

Dalam senyap mereka ada meeting tersendiri sesama mereka. Sehingga keputusan mesyuarat bersama Presiden mereka abaikan kerana mereka ada keputusan lain sesama mereka.

Advertisement

PAS ibarat gerabak-gerabak buruk bagi mereka. Di mana keputusan dibuat mengikut hala tuju mereka. Semacam PAS ini milik dua tiga orang di kalangan mereka sahaja. Dalam diam mereka ada ‘Projek langgar Hadi’.

Proksi dan ejen-ejen mereka dilantik dan dipilih menduduki posisi strategik supaya dapat menarik undi perwakilan kepada mereka. Kalau perlu bayaran mereka akan bayar hanya untuk dipanggil bagi merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kawasan yang akan menyokong mereka nanti di Muktamar.

Mereka bergerak dengan mewujudkan team yang tersendiri, yang akan bekerja melobi dan melonjakkan mereka ke kerusi yang diidamkan dalam parti. Siapa yang tidak bersama team mereka dikira musuh yang perlu disingkirkan. Maka ejen-ejen akan bekerja mencantas musuh tersebut.

Pintu-pintu dibuka kepada musuh untuk menembak Presiden atas nama keterbukaan berfikir dan meraikan perbezaan. Dengan harapan Presiden semakin tersisih dan kalau boleh terus terbunuh.

Dalam masa yang sama mereka ada perundingan dengan parti luar sehingga Presiden parti lain lebih mereka wala’ berbanding Presiden sendiri.

Strategi diatur demi kepentingan mereka. Pimpinan negeri atau kawasan yang boleh mereka pergunakan akan mereka pegang. Itulah mereka, sehingga akhirnya mereka mahu gantikan Presiden dengan ‘orang-orang mereka’ supaya PAS dapat diperkudakan oleh parti luar. Tidak lain dan tidak bukan bertujuan mencapai impian mereka.

Jangan diulangi jejak mereka, kerana kita telah menyaksikan sifat tamak, dan berkepentingan dalam perjuangan akhirnya akan membawa kepada kehinaan. Walau ahli bawahan tidak menyedarinya, walau ahli tidak sebijak mereka dan walau ahli tidak mampu bersuara. Namun Allah melihat dan mengetahui. Jika pemimpin khianat, Allah akan bersama ahli yang ikhlas dan jujur.

Belajarlah dari kisah mereka yang masih terlalu dekat dengan kita. Moga kita tidak menjadi orang yang menjejaki jalan kehinaan itu.

USTAZ MOKHTAR SENIK
Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Pusat – HARAKAHDAILY 21/12/2020