Patuhi SOP ketika adakan program berkhatan – Zulkifli

- Advertisement -

BANGI: Pihak yang ingin melaksanakan program berkhatan diingatkan supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan bagi mengekang penularan COVID-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata pemakaian pelitup muka adalah diwajibkan, selain penganjur perlu memastikan penjarakan fizikal diamalkan sepanjang program berlangsung.

Mengambil contoh program Khatan Is’aadul Usrah 2020 anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) di sini hari ini, beliau berkata YADIM telah memastikan program berkhatan ini dilaksanakan dengan mengikut SOP ditetapkan.

- Advertisement -

“Program berkhatan ini dibuat dengan mengambil kira SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan (KKM)… Kita juga telah maklum semua pihak (yang ingin laksana program berkhatan) untuk sentiasa mematuhi SOP,” katanya selepas melancarkan program yang disertai oleh 16 peserta di Poliklinik Sri Putra di sini, hari ini. 

Program Khatan Is’aadul Usrah 2020 dijalankan serentak di seluruh negara dengan kerjasama Pertubuhan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) khusus untuk meringankan beban ibu bapa, penjaga asnaf dan golongan B40 dalam melaksanakan tuntutan ibadah berkhatan. 

Mengulas program Khatan Is’aadul Usrah 2020, Zulkifli berkata program ini membolehkan YADIM menyantuni setiap lapisan masyarakat terutama mereka yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

“Program ini bukan sahaja kita santuni anak yang berkhatan tetapi ibu bapa dan bantuan akan diberikan kepada mereka ini… Ini merupakan program yang dianjurkan setiap tahun dengan peruntukan RM30,000,” katanya.

Sementara itu, seorang peserta Amir Faizal Mohd Raffles, 38, berkata program ini secara tidak langsung dapat meringankan ibu bapa yang terkesan dengan keadaan ekonomi tidak menentu akibat pandemik COVID-19.

“Saya bersyukur kerana terpilih dalam program ini dan dapat melaksanakan ibadah khatan kepada anak Nor Muhammad Zachery… Saya berterima kasih kepada YADIM serta semua pihak yang menjayakan program ini,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -