YADIM penggerak utama – Dr Zulkifli

- Advertisement -

MASJID TANAH: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) menjadi antara agensi di bawah Bahagian Hal Ehwal Agama, Jabatan Perdana Menteri yang menjadi penggerak utama dalam usaha membantu rakyat.

Demikian dinyatakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri ketika berucap merasmikan program Is’ad Al-Usrah dan Musa’adah YADIM di Kampung Tanjung Dahan, di sini, petang tadi.

- Advertisement -

Menurut beliau, itu memang menjadi cita-cita beliau untuk melihat semua agensi-agensi agama di bawah Bahagian Hal Ehwal Agama JPM akan berkolaborasi dengan pihak berkuasa negeri-negeri termasuk NGO bersesuaian bagi menjalankan program seperti ini.

“Dan saya lihat apa yang mereka lakukan adalah ‘all out‘. Ertinya kesungguhan mereka itu luar biasa!

“Tak cukup dengan kakitangan yang sedia ada, ditambah dengan sukarelawan YADIM lagi, diajak NGO-NGO. Dan inilah cara kita bergerak,” ujar Dr Zulkifli.

Beliau turut memaklumkan bahawa pihaknya sedang merancang untuk membina lebih banyak rumah untuk asnaf di bawah program ‘My House’.

“Alhamdulillah, buat masa ini sudah banyak dah kita bina. Dan kita berkolaborasi dengan TV Hijrah akan disiarkan macam mana bantuan-bantuan yang kita berikan ini.

“Kita juga nak kalau boleh memahami denyut nadi rakyat yang susah dan sukar. Maka jawapannya adalah seperti hari ni, YADIM turun padang sama-sama nak membantu seupaya mungkin.

“Inilah hasrat kami dan inilah cita-cita kami. Dan setakat hari ni kita telah salurkan lebih daripada RM360 juta untuk bagi keperluan-keperluan (bantuan asnaf) di seluruh Malaysia,” tambah Dr Zulkifli

Menurut beliau, itulah yang telah dan sedang dilakukan oleh pihaknya dan ia akan dinyatakan dalam kad laporan Bahagian Hal Ehwal Agama JPM yang berada di bawah pentadbiran beliau itu.

Sementara itu, Yang Dipertua YADIM, Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi dalam ucapan alu-aluannya berkata, agensi agama yang lain di bawah Bahagian Hal Ehwal Agama JPM ini termasuklah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), JAKIM, YAPIEM dan beberapa agensi lagi, semuanya bergerak bersama-sama di dalam satu pasukan untuk berkhidmat dan berbakti kepada masyarakat.

“Semuanya untuk menyantuni masyarakat terutamanya mereka yang memerlukan dan asnaf dan juga di kalangan marhaen yang kita rasa perlu berkongsi segala kelebihan rezeki yang dikurniakan oleh Allah SWT dengan kita meringankan beban yang dialami oleh mereka.

“Kerana apa yang dikurniakan kepada kami daripada YADIM, dan rakan-rakan agensi agama yang lain adalah hasil daripada wang kerajaan, wang rakyat dan juga wang masyarakat yang kita kumpulkan dalam Tabung Musa’adah dan sebagainya, dan kita kembalikan pula kepada rakyat,” ujar Ustaz Nasrudin.

Dalam majlis sama, Dr Zulkifli telah menyempurnakan bantuan bagi program Is’ad Al Usrah dan Musa’adah YADIM yang diterima oleh seorang nelayan, Hasni Zaini Zam.

Hasni antara yang terkesan dengan masalah Covid-19 ini turut menghadapi masalah struktur rumahnya yang sangat uzur ditambah dengan enjin botnya yang rosak menyebabkan beliau tidak dapat turun ke laut mencari rezeki.

Beliau yang juga bapa kepada empat orang anak ini menerima bantuan berjumlah RM15 ribu bagi membaiki rumah dan enjin botnya yang rosak di samping untuk membeli barang keperluan harian.

Selain itu, seramai 20 orang lagi penduduk turut menerima sumbangan berbentuk wang tunai dan barangan dapur, di samping Menteri JPM itu turut menceriakan suasana dengan memberikan ‘duit raya’ kepada semua kanak-kanak bawah 12 tahun yang hadir di dalam majlis itu.

Turut hadir di dalam program ini ialah ADUN Kuala Linggi, Datuk Wira AR Ismail Othman, Mufti Kerajaan Negeri Melaka, Sahibus Samahah Datuk Wira Abdul Halim Tawil, Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka, Datuk Md Azhan Samat , Timbalan Pesuruhjaya-2 PAS Melaka, Ustaz Imran Abdul Rahman dan pimpinan masyarakat tempatan.

Manakala rombongan yang turut bersama dengan Menteri JPM dan YADIM ini ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Akbar Samon, Ketua Pegawai Eksekutif YADIM, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh dan pasukan sukarelawan YADIM. – HARAKAHDAILY 19/12/2020

- Advertisement -