Usaha jejak daftar pemilih baharu dipergiatkan

- Advertisement -

BAKRI: Pertubuhan Kebajikan Muafakat Bakri dengan kerjasama Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Pesta Muar telah menjalankan aktiviti Jejak Daftar Pemilih Baharu dan Semakan Daftar Pemilih, semalam.

Usaha julung kali ini diadakan secara kunjungan rumah ke rumah bertujuan untuk memudahkan pendaftaran sebagai pengundi baharu khususnya kalangan penduduk Kampung Kenangan Tun Dr Ismail, Pesta, di sini.

- Advertisement -

Penolong Pendaftar Pemilih (PPP) Bakri, Abdul Rasyid Abdul Rahman dan Normala Mohd Ali telah dibantu Pengerusi KRT Pesta, Suradi Mohamed Mobin yang membantu memudahkan mereka menemui penduduk.

“Bukan setakat untuk pendaftaran pengundi baharu, malahan kami juga membuat semakan daftar pemilih bagi memastikan lokasi yang tepat untuk mereka. _Alhamdulillah_, dengan tiga petugas, lebih kurang 50 rumah sempat kami pergi untuk mendapatkan maklumat isi rumah.

“Saya menyeru kepada mereka yang belum mendaftar, rebutlah kemudahan yang diberikan ini bagi memastikan nama kita tersenarai dalam daftar pemilih untuk PRU15 yang dijangka sebelum pertengahan tahun hadapan,” ujar Abdul Rasyid.

Tambahnya lagi, PRU adalah satu medan hak demokrasi yang telah diberikan kerajaan kepada rakyat sebagai tanggungjawab untuk memilih pemimpin yang benar-benar berkaliber bagi memimpin negara pada masa akan datang.

Beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya PAS Kawasan Bakri memaklumkan bahawa inisiatif seumpama ini akan diteruskan lagi oleh pihaknya dengan membuka kaunter di lokasi-lokasi awam sekitar Parlimen Bakri.

Beliau turut mempelawa bagi memudahkan urusan pendaftaran boleh juga berhubung terus melalui talian Hotline PPP: https://wasap.my/+601135044879/sayanakdaftar. – HARAKAHDAILY 19/12/2020

- Advertisement -