Vaksin Pfizer punyai 95 peratus tahap keberkesanan

Foto hiasan.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pemilihan vaksin Pfizer adalah berdasarkan tahap keberkesanan vaksin itu yang merekodkan sebanyak 95 peratus bagi mencegah jangkitan Covid-19.

- Advertisement -

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata, kerajaan juga turut mendapat akses data untuk menilai kualiti, keselamatan dan tahap keberkesanannya.

“Pemilihan vaksin ini adalah berdasarkan kepada laporan interim ujian klinikal dan ianya telah diterbitkan di The New England Journal of Medicine pada 10 Disember 2020 yang menunjukkan bahawa vaksin berkenaan didapati mempunyai tahap keberkesanan 95 peratus dalam mencegah jangkitan Covid-19.

“Vaksin ini juga telah mendapat kebenaran penggunaan kecemasan daripada tujuh negara termasuklah United Kingdom, Amerika Syarikat, Bahrain, Kanada, Saudi Arabia, Mexico dan Singapura,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab Lin Guan Eng [PH-Bagan] yang bertanyakan mengenai kos, keberkesanan dan liputan penduduk untuk vaksin Pfizer, khususnya tempoh immuniti.

Bagaimanapun menurut Khairy, keputusan penggunaan vaksin tersebut di Malaysia masih tertakluk kepada pendaftaran dan kelulusan daripada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan.

Katanya, proses ini telah bermula dan semua data yang dibekalkan oleh pihak Pfizer akan diteliti oleh NPRA.

Jelasnya, bekalan vaksin Covid-19 daripada syarikat Pfizer ini dijangka akan mula diterima pada suku pertama tahun 2021 merangkumi 12.8 juta dos bagi menampung keperluan imunisasi 20 peratus atau 6.4 juta rakyat Malaysia.

Tambahnya, Jawatankuasa Khas Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) telah ditubuhkan dengan objektif untuk memastikan bekalan vaksin Covid-19 diperoleh dengan segera, selamat dan sempurna.

“JKJAV bertujuan menyediakan rangka kerja dan pelan perolehan serta pengagihan vaksin Covid-19 apabila ia diluluskan untuk kegunaan di Malaysia.

“Jawatankuasa ini dipengerusikan bersama Yang Berhormat Menteri Kesihatan serta dianggotai oleh pelbagai Kementerian dan Jabatan,” katanya.

Berkata Khairy, selain vaksin Covid-19 daripada Pfizer, Malaysia juga telah menyertai fasiliti COVAX yang menjamin akses bekalan vaksin sebanyak 10 peratus populasi negara.

Malahan katanya, jawatankuasa ini sedang mempertimbangkan calon-calon vaksin lain yang berada di fasa tiga ujian klinikal untuk digunakan di Malaysia.

“Pengumuman mengenai ini dan juga senarai keutamaan siapa yang akan menerima vaksin dahulu akan diumumkan dalam masa yang terdekat,” jelasnya lagi.

Baru-baru ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengumumkan bahawa pihaknya sedang mengadakan perbincangan dengan pengeluar vaksin, Pfizer dan Moderna bagi mendapatkan akses awal vaksin Covid-19 untuk negara miskin dengan harga berpatutan.

Menerusi COVAX, sebuah inisiatif antarabangsa akan dipimpin WHO untuk memastikan akses vaksin Covid-19 yang adil dan berkesan di seluruh dunia apabila ia tersedia.

Ini bertujuan untuk memberikan kira-kira dua bilion dos pada akhir tahun hadapan.

Pertubuhan itu sudah memperoleh ratusan juta dos calon vaksin Covid-19 yang dibangunkan oleh syarikat farmaseutikal lain iaitu AstraZeneca, Novavax dan Sanofi-GSK – HARAKAHDAILY 17/12/2020

- Advertisement -