Pengakuan kalah daripada DAP dan PAN!

MENGEJUTKAN sekali membaca kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, dan Presiden PAN, Mohamad Sabu, hari ini, tetapi inilah hakikatnya, iaitu DAP dan PAN sudah mengaku kalah mengangkat bendera putih mengakui bahawa:

(1) “Selasa adalah hari yang mengecewakan bagi penyokong dan pemimpin PH, yang berharap Belanjawan 2021 dapat dikalahkan pada bacaan ketiga di Parlimen dan membolehkan PH menuntut kembali mandat rakyat yang dimenangi pada PRU 2018.”

(2) “Kelulusan Belanjawan 2021 dilihat sebagai tanda undi percaya kepada Kerajaan PN Tan Sri Muhyiddin Yassin.”

Advertisement

(3) “PH seharusnya tidak membuang masa dengan Ahli Parlimen Kerajaan oportunis dan hanya memperalatkan PH demi kepentingan peribadi mereka sendiri.”

(4) “Undian Belanjawan pada hari Selasa telah mengajar kita untuk tidak membazirkan tenaga mengejar bayang-bayang lebih daripada 111 MP.”

Dengan pengakuan kalah daripada DAP dan PAN yang mempunyai 53 MP ini, khususnya pengakuan mereka bahawa kelulusan Belanjawan 2021 adalah tanda undi percaya kepada Kerajaan PN, diharapnya akan berakhirlah episod cubaan menjatuhkan Kerajaan PN.

Apatah lagi bila dalam sidang media beliau pada 14 Disember lalu Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri sudah tidak lagi mempersoalkan keabsahan Kerajaan PN sebaliknya setakat menyatakan bahawa Kerajaan PN adalah kerajaan lemah yang mempunyai kelebihan dua undi sahaja.

Semoga Tun Dr Mahathir Mohamad dapat ingat balik kata-kata beliau selepas menang tipis mengalahkan Tengku Razaleigh Hamzah dalam pertarungan merebut jawatan Presiden Umno pada 24 April 1987 dahulu: Kemenangan walau dengan 1 undi juga adalah kemenangan!

DR KAMARUL ZAMAN HAJI YUSOFF – HARAKAHDAILY 17/12/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.