Hiruk pikuk PH, pembangkang terus berlalu

- Advertisement -

ANALISIS. Ku sangka kemarau sampai ke petang rupanya hujan di tengah hari. Ada bait-bait lagu dinyanyikan Hanim Liza. Sebenarnya banyak lagu yang menggambarkan situasi begitu.

Namun semua membelit kisah orang muda. Cinta dan hampa. Namun berbeza apa yang berlaku di Parlimen kelmarin. Sedangkan sehari dua sebelum itu pembangkang cuba memperlihatkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) runtuh.

- Advertisement -

Itulah yang cuba digambarkan. Ada kenyataan Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH) menggambarkan situasi begitu.

Mereka cuba gambarkan penolakan bajet PN 2021 bermakna kerajaan Muhyiddin Yassin jatuh. Itu babak yang cuba di pentas di tengah khalayak pada Ahad dan Isnin lepas.

Maknanya petang Selasa kerajaan PN jatuh dan kerajaan baru muncul. Itu percaturan yang direncanakan pembangkang dan PH. Perlu ingat PH satu entiti dan pembangkang entiti lain.
PH memuatkan PKR, DAP dan PAN.

Pembangkang ada Pejuang dan Warisan. Semalam PH dan pembangkang senada. Masing-masing menolak Bajet PN 2021.

Mereka nekad begitu. Peluang terbaik untuk tumbangkan kerajaan PN dan Muhyiddin direbut.
Pengundian bajet peringkat dasar sebelum ini juga berlaku begitu. Juga di peringkat jawatan bagi setiap kementerian.

Semuanya lulus dan mendapat sokongan majoriti. Kelebihan satu undi juga bermakna majoriti. Itu sudah menjadi sifir demokrasi yang diamalkan di negara kita.

Kata Jackson (1997) demokrasi dan pendemokrasian boleh diukur dengan dua angkubah iaitu persaingan dan perwakilan.

Apa yang berlaku di Parlimen semalam memperlihatkan ciri-ciri tersebut. Persaingan sengit sebelum Bajet 2021 diluluskan.

Belum pernah berlaku dalam sejarah sejak merdeka, persaingan sengit begitu. Dewan Rakyat semalam meluluskan Belanjawan 2021 pada bacaan kali ketiga dengan kelebihan tiga undi.
Belanjawan itu disokong 111 ahli Parlimen, manakala 108 lagi menolak.

Proses yang berlaku itu menepati segmen demokrasi berparlimen yang diamalkan di tanah air kita.

Setiap Rang Undang-Undang (RUU) akan diteliti ahli Parlimen melalui tiga peringkat. Bacaan pertama di mana RUU diedar kepada ahli-ahli Parlimen.

Bacaan kedua, perbahasan secara umum diadakan. Kemudian bacaan ketiga RUU itu dikaji dengan teliti.

Selepas dilulus di Dewan Rakyat RUU itu dibawa ke Dewan Negara. RUU Bajet 2021 juga melalui bacaan tiga peringkat di Dewan Negara. Selepas dilulus di Dewan Senat akan dikemuka kepada Yang di-Pertuan Agong untuk ditandatangani, sebelum diwartakan.

Kerusi PM percuma

Prosesnya lazim begitu. Bagaimanapun hiruk pikuk cuba dicetus dengan gambaran awal Bajet 2021 gagal mendapat kelulusan.

Peranan begitu memang kerja buat pembangkang. Di tengah-tengah kemelut itu masih ada pihak berharap mendapat percuma kerusi Perdana Menteri.

Masih ada yang berangan-angan begitu. PH dan pembangkang sejak dahulu lagi mengimpikan kerusi berkuasa sakti tersebut.

Namun peliknya dalam kondisi semalam, ada penyokong kerajaan seperti tersalah jalan. Mengapa berlaku begitu.

Tentu ramai masih ingat Tengku Razaleigh Hamzah mengadap Yang di-Pertuan Agong sebelum ini. Ketika geger Anwar Ibrahim memiliki sokongan majoriti ahli Parlimen, tiba-tiba Ku Li muncul di Istana Negara.

Maka ada pihak mengandaikan Ku Li bakal Perdana Menteri sekiranya PN jatuh. Tiba-tiba muncul nama Ku Li dan bukan Anwar atau Dr Mahathir.

Mungkinkah mengambil kira situasi tersebut tiba-tiba Ku Li sanggup menjadi regu musuh tradisi sejak 1987. Akibat pertembungan merebut jawatan Presiden Umno menyebabkan parti itu diharamkan.

Penyokong Ku Li menjaja ahli Parlimen Gua Musang itu tewas tipis kepada Dr Mahathir dengan 43 undi. Pertembungan kedua-dua tokoh terbabit lama berlaku.

Kemudian muncul Semangat 46 dan Umno Baru. Ku Li dilihat masih mengharap merapati kerusi Perdana Menteri melalui bahtera Semangat 46.

Namun bahtera Semangat 46 gagal membawa Ku Li mencapai impian tersebut. Pada 1996 Semangat dibubarkan dan menyerah diri semula kepada Umno.

Selepas 30 tahun berlalu, tiba-tiba nama Ku Li dikait pula dengan jawatan Perdana Menteri.
Tindak tanduk Ku Li mempalit segmen hitam terhadap Umno. Dia dibidas banyak pihak. Ketua Penerangan Umno, Shahril Hamdan turut membidas veteran parti terbabit.

“Apa yang dilakukan Ku Li jelas bertentangan dengan disiplin parti. Sidang media bersama Mahathir bukan memberi kesan yang kecil sebaliknya mengelirukan ahli Umno,” katanya seperti dilapor laman berita.

Kelompok veteran Umno juga tidak senang terhadap tindak tanduk Ku Li. Mustapa Yaakub juga tampil membidas Ku Li.

Kronologi yang berlaku tersebut seakan menjelaskan impian Ku Li tidak ke mana-mana. Begitu juga Anwar dan Dr Mahathir. Usia menjadi penghalang. Lebih dibimbangi lagi legasi mereka hanyut tanpa dikenang generasi muda. – HARAKAHDAILY 17/12/2020

- Advertisement -