Blok Barat yang didominasi oleh Yahudi Nasrani (Siri 3)

- Advertisement -

HARI ini projek Normalisasi Israel dilihat semakin berjaya. Ia dilihat sebagai salah satu strategi atau roadmap ke arah penguasaan Yahudi (Pax Judaica). Kalau Amerika dikenali dengan Blok Baratnya, begitu juga dengan Yahudi, boleh jadi bakal dikenali dengan ‘Blok Arab’.

- Advertisement -

Selaras dengan pendudukan Zionis di tengah-tengah rantau Arab. Memang benar selaras dengan Hadis Nabi S.A.W:

ويل للعرب

Siapa sangka, orang Arab boleh kalah dengan ‘kelunakan’ Amerika untuk bersama-sama membina Empayar Zionis yang dikenali Israel Raya. Di samping mereka mempamerkan kelunakan, mereka merancang peperangan yang kebanyakannya dilakukan sendiri oleh proksi-proksinya.

Beberapa ayat al-Quran menggambarkan bahawa perangai orang Yahudi ialah merancang peperangan:

كُلَّمَا أَوْقَدُوا نَارًا لِّلْحَرْبِ أَطْفَأَهَا اللَّهُ ۚ وَيَسْعَوْنَ فِي الْأَرْضِ فَسَادًا ۚ وَاللَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُفْسِدِينَ 

“……. Tiap-tiap kali mereka menyalakan api peperangan, Allah memadamkannya; dan mereka pula terus-menerus melakukan kerosakan di muka bumi, sedang Allah tidak suka kepada orang-orang yang melakukan kerosakan.”

(al-Maidah: 64)

Imam Ibnu Kathir menafsirkan ayat ini menggambarkan bahawa ia merupakan salah satu strategi yang dikenali sebagai tipu helah ( كيد ). Tetapi Allah S.W.T menggambarkan bahawa tipu helah mereka itu akan ‘makan diri’.

Apa yang kita saksikan hari ini, wujudnya kempen besar-besaran ke arah membina keintiman antara Arab dan Yahudi. Kalau kita lihat Amerika memasarkan demokrasi secara meluas, sekalipun terpaksa mewujudkan peperangan, campur tangan dan sebagainya.

Maka, strategi Yahudi ialah memasarkan normalisasi hubungan dengan mereka. Pelbagai rundingan yang menggiurkan dibuat dengan negara-negara Arab dan Afrika. Selain daripada usaha mempengaruhi, antara keuntungan mereka ialah perdagangan (ekonomi).

(a) Contohnya sebelum ini Mesir telah menyalurkan Gas Mediterranean yang berpangkalan di Lapangan Zohr kepada Negara Haram Israel. 

(b) Selain itu, laluan Tanduk Afrika yang menjadi antara laluan kapal terutama dunia. 

Tempias kempen membina hubungan intim dengan Israel ini banyak dipasarkan di negara-negara Arab. Membina pemikiran generasi baru Arab ke arah berdamping dengan Israel. Sebab itulah saya melihat bahawa masa depan kejayaan Israel bakal dikenali dengan Blok Arab.

Tulisan yang berkaitan sebelum ini;

https://harakahdaily.net/index.php/2020/11/27/blok-barat-yang-didominasi-oleh-yahudi-nasrani/

https://harakahdaily.net/index.php/2020/11/27/blok-barat-yang-didominasi-oleh-yahudi-nasrani-siri-2/

MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL
Khamis 17 Disember 2020 – HARAKAHDAILY 17/12/2020

- Advertisement -