Tidak terpengaruh hujah rapuh antivaksin

- Advertisement -

ANTARA teknik yang selalu digunakan oleh antivaksin dalam hujah mereka adalah share link beberapa tokoh antivaksin Barat. Bagi kita umat Melayu ini, apabila nampak maklumat itu dari sana, terus percaya. Padahal banyak percanggahan maklumat yang cuba disebarkan.

Contohnya mereka menyebar video ucapan dari beberapa pengkaji yang kononnya mendapati vaksin MMR tercemar teruk dengan janin manusia. Kajian itu diberi nama Corvelva Study.

- Advertisement -

Pihak berkuasa Itali sudah lama berhujah dengan golongan antivaksin tegar Itali ini. Bahkan boleh dikatakan golongan antivaksin di Itali adalah paling berani kerana mereka sudah sanggup mempengaruhi Ahli Parlimen untuk mengharamkan vaksin kepada rakyat mereka.

Sehingga kini Kerajaan Itali masih kukuh dengan pendirian mewajibkan vaksinasi. Kita lihat menarik sungguh tindakan yang dibuat oleh pihak berkuasa Itali. Walaupun kerajaan memerintah itu pro kepada kumpulan antivaksin, namun kesihatan rakyat tetap diutamakan. 

Berita terkini, Kenyataan dari Menteri Kesihatan Giulia Grillo bertegas untuk meneruskan undang-undang ‘No Vaccine No School’ yang diluluskan oleh Menteri Kesihatan sebelum PRU lepas, Lorenzim. [1] Penegasan ini dibuat demi penjagaan kesihatan rakyat mereka yang sekarang ini diancam wabak penyakit terutamanya penyakit campak. 

Undang-undang tersebut menetapkan:

(1) Kanak-kanak yang berumur kurang dari 6 tahun tidak dibenarkan masuk pra-sekolah jika tidak mengemukakan bukti suntikan imunisasi dalam kad kesihatan masing-masing. 
(2) Kanak-kanak yang berumur 6 hingga 16 tahun dibenarkan masuk sekolah. Tetapi mana-mana ibu bapa yang tidak dapat membuktikan pemberian vaksin anak-anak mereka akan didenda €500. 

Berita ini ditentang hebat oleh antivaksin. Mereka cuba membawa hujah kajian palsu yang dibuat oleh Corvelva. [2] Namun Menteri Kesihatan tidak terpengaruh dengan hujah rapuh mereka. Ini kerana kajian tersebut bukan dibuat oleh badan berautoriti. Kajian syok sendiri itu dibuat oleh kumpulan antivaksin, dan membuat sebaran maya sesama mereka dengan niat menakut-nakutkan ibu bapa terhadap vaksin. 

Malah kajian tersebut berselindung atas nama Corvelva, tidak seorang pun dinamakan pakar mana yang terlibat dalam kajian. Metodologi kajian yang digunakan pun tidak melepasi taraf pelajar sekolah menengah pun. [3] Inilah tipikal perangai antivaksin seluruh dunia. Malaysia pun begitu, sebaran maya berkaitan antivaksin biasanya dibuat oleh akaun palsu ataupun jenis salin-tampal artikel yang mereka sendiri tidak faham isi tulisan yang dikongsi.

DR SUHAZELI ABDULLAH 
Pakar Perubatan Keluarga 
Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – HARAKAHDAILY 16/12/2020

Pautan:
[1] Kerajaan Italy Teruskan Wajib Vaksin. https://www.bbc.com/news/world-europe-47536981 
[2] Kajian Corvelvahttps://www.ageofautism.com/2018/12/corvelva-vaccinegate-gsks-infanrix-hexa-exposed.html 
[3] Kritikan atas kajian Corvelva. https://www.skepticalraptor.com/skepticalraptorblog.php/vaccine-pseudoscience-corvelva-anti-vaccine-researchers/

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -