Dua Exco PAS di negeri Perak

- Advertisement -

SAYA mendapat pelbagai respon positif dari warga Perak khususnya warga pendidikan dan jabatan agama. Mereka bersyukur dengan pelantikan dua Exco PAS dalam senarai lima lagi lantikan yang mengangkat sumpah di hadapan Tuanku Nazrin Muizzuddin Shah semalam.

Saya memahami mengapa kegembiraan itu dizahirkan. Mereka dapat merasai kehadiran dua Exco ini di portfolio masing-masing. Keduanya membuktikan kerja keras membaiki ruang membangunkan rakyat.

Bertuahnya PAS diamanahkan dengan portfolio yang sangat dekat dengan hati mereka. Barangkali kerana itulah mereka dapat menjiwai portfolio yang diberikan. 

- Advertisement -

Sebelum ini YB Hj Razman Zakaria memegang portfolio Pendidikan, Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil. YB Ustaz Akmal Kamarudin pula memegang portfolio Agama dan Penerangan. Kedua-dua YB PAS itu memikul amanah membangunkan manusia, satu bidang yang menjadi teras dalam perjuangan PAS iaitu Dakwah dan Tarbiah. 

Di bidang Pendidikan, YB Razman sebagai Pesuruhjaya PAS sangat memahami bidang ini kerana PAS miliki institusi yang diasaskan sendiri bermula dari pra sekolah hingga ke Universiti. Di Perak ada PASTI, SRITI dan kini melebarkan SMITI. 

PASTI telah menjadi darah daging PAS malah kebanyakan pemimpin muda PAS adalah graduan PASTI. SRITI kini sedang berkembang di Negeri Perak bersama SMITI bagi memenuhi tuntutan dan permintaan lepasan PASTI.

Ramai juga ahli PAS menubuhkan sekolah agama dan tahfiz sendiri. YB Hj Razman sendiri menguruskan tahfiz di kampung halamannya yang telah dibangunkan sekian lama. Tahfiz yang terletak di Kg Luat itu diuruskan anaknya dan menjadi tumpuan masyarakat tempatan dan seluruh Perak. 

Bagi yang mengenali YB Hj Razman, beliau adalah seorang ‘worker holic’. Ini turut diakui keluarganya. Sepanjang mengikuti beliau sebagai Exco Pendidikan, ternyata beliau sangat cakna meningkatkan prestasi pendidikan di Negeri Perak. 

Beliau bercita-cita mengembalikan kedudukan akademik Perak dalam prestasi lima teratas. Berbagai usaha dirancang dan dibincang walaupun berdepan kekangan masalah COVID-19 yang merencatkan aktiviti bersemuka selain kekangan kewangan yang terpaksa mengutamakan bantuan keperluan rakyat Perak. 

Beliau tidak langsung menyentuh persoalan politik dalam setiap ucapan beliau. Apa yang ditekankan ialah meningkatkan prestasi akademik, prasarana dan keprihatinan pelajar cemerlang dari kalangan B40. Terlalu banyak yang boleh saya kongsi namun bukan di ruangan terhad ini. 

YB Akmal yang juga Setiausaha Perhubungan PAS Perak juga menunjukkan prestasi cemerlang. Sebagai pendakwah sejak memimpin Dewan Pemuda pastinya tumpuan beliau ialah mengangkat prestasi dakwah dan perkembangan Islam di Negeri Perak. Beberapa usaha baru diperkenalkan bagi memudahkan urusan berkaitan agama dan syiar Islam di Perak. 

Kedua-dua Exco Perak ini sangat mudah didampingi menjadikan mereka terus disayangi. Sembilan bulan tempoh awal sudah cukup menonjolkan prestasi dan mendekatkan mereka dengan masyarakat. Mereka sangat merasai denyut nadi warga Perak. 

Sesungguhnya mereka telah diletakkan di posisi terbaik yang mereka telah berkhidmat lama sebelum diberi kuasa. Tentulah dengan amanah kuasa yang ada, semua urusan menjadi lebih mudah untuk mencapai kecemerlangan. 

Ibarat sireh pulang ke gagang dan ikan kembali ke lubuk. Pastinya YAB Menteri Besar Perak yang baru akan memastikan keduanya meneruskan kecemerlangan yang ditunjukkan di bidang yang diamanahkan sebelum ini. 

FAIRUZ HAFIIZH OTHMAN
Setiausaha Politik
Pesuruhjaya PAS Perak – HARAKAHDAILY 16/12/2020

- Advertisement -