Tiada muslihat projek LRA Plubang – Wan Rohimi

Wan Rohimi Wan Daud
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tiada sebarang muslihat berhubung kerjasama antara Bina Darulaman Berhad (BDB) dan rakan usahasama Taliworks Corporation, dalam projek Loji Rawatan Air (LRA) Plubang, Kedah, kata Setiausaha Politik Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Dato’ Takiyuddin Hassan iaitu, Wan Rohimi Wan Daud.

Isu tersebut timbul berikutan satu cetakan perbualan melalui aplikasi Whatsapp yang tular melibatkan Takiyuddin dan Menteri Kewangan, Senator Tengku Dato’ Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang dikatakan terdapat cubaan untuk meluluskan tender secara senyap-senyap bagi pelaksanaan LRA terbabit.

- Advertisement -

Menurut Wan Rohimi, cetakan perbualan tersebut sengaja dipetik di luar konteks dan ditularkan dengan niat jahat bagi membina persepsi negatif, lalu mencemarkan nama baik pihak-pihak berkaitan.

Jelasnya, perbincangan melalui aplikasi itu adalah sebahagian daripada bidang tugas dan tanggungjawab Takiyuddin atas kapasitinya selaku Menteri Penyelaras antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Kedah.

“Beliau ditugaskan untuk memberi tumpuan khas sebagai pemudah cara khususnya dalam hal pembangunan yang melibatkan kementerian, jabatan atau agensi Persekutuan dan Kerajaan Negeri Kedah selain memperkukuhkankan kedudukan dan perhubungan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Kedah dengan menyampaikan maklumat yang tepat agar selari dengan dasar-dasar negara,” ujar beliau dalam satu kenyataan pada hari ini.

Sementara itu, Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor menjelaskan, projek LRA Plubang yang diberikan kepada BDB bukan langkah baharu, malah telah dipersetujui sejak 2018 lagi.

“Daripada lima LRA yang akan dibina di Kedah dalam masa terdekat ini, empat daripadanya ditender secara terbuka memandangkan ia adalah geran persekutuan.

“Satu LRA diberi secara rundingan terus kepada anak Syarikat Negeri (BDB) tersebut kerana LRA tersebut dibiayai secara pinjaman Kerajaan Kedah kepada Persekutuan,” ujarnya.

Beliau memaklumkan, amalan itu adalah normal memandangkan pendapatan GLC akan digunakan semula untuk membantu kerajaan negeri melaksanakan pelbagai program kerajaan.

Manakala pihak BDB pula akan melantik syarikat kerjasama dan kontraktor daripada pelbagai kepakaran dan keupayaan untuk melaksanakan projek-projek yang diperolehi jika perlu.

Walau bagaimanapun jelasnya, dalam kaedah perolehan sebelum ini, bagi setiap projek yang dilaksanakan secara pinjaman, kerajaan negeri berhak mengeluarkan surat kelulusan (LA) kepada pihak yang terpilih.

Manakala, untuk projek secara geran, LA akan dikeluarkan oleh Kerajaan Persekutuan.

Ia sesuai dengan tanggungjawab dan peranan Takiyuddin sebagai Menteri Penyelaras Kedah-Persekutuan, ujanya.

Tambah beliau, Takiyuddin hanya menjalankan tugasnya untuk memeriksa status permohonan Kedah itu dengan Menteri Kewangan.

“Memandangkan dasar kerajaan pusat berkaitan kaedah perolehan projek telah berubah, Kerajaan Negeri terpaksa mendapat kelulusan Kementerian Kewangan juga walaupun ia adalah projek dibiayai secara pinjaman.

“Maka, beberapa surat dan dokumen berkaitan telah dihantar oleh Kerajaan Negeri bagi semakan dan kelulusan Menteri Kewangan beberapa minggu lalu.

“Tetapi masa semakin suntuk untuk LRA Plubang disegerakan bagi menjamin bekalan air ke beberapa daerah agar tidak mengalami sebarang krisis.

“Oleh itu, MoF (Kementerian Kewangan) memaklumkan kepada Menteri Penyelaras tentang hasrat Taliwork untuk JV bersama BDB, hal itu disampaikan pula oleh Menteri Penyelaras kepada Kerajaan Negeri Kedah,” jelasnya dalam satu kenyataan semalam.

Tambahnya, oleh kerana BDB telah selesai melantik kontraktor dan rakan JV bagi projek LRA tersebut sejak Ogos lalu, malah telah melaksanakan majlis pecah tanah bagi projek tersebut, maka, Kerajaan mencadangkan Taliwork boleh dipertimbangkan untuk bekerjasama dalam projek akan datang, antaranya projek LRA ke Langkawi yang telah diumumkan beberapa tahun lalu.

Walau bagaimanapun, ia tetap tertakluk kepada kaedah dan proses perolehan kerajaan yang ditentukan oleh Persekutuan sama ada tender terbuka atau rundingan terus dengan GLC. – HARAKAHDAILY 15/12/2020

- Advertisement -