Hasrat rakyat agar kerajaan ini bertahan termakbul

- Advertisement -

ALHAMDULILLAH, akhirnya Bacaan Kali Ketiga Bajet 2021 diluluskan dengan 111 Undian Bersetuju, 108 Undian Tidak Bersetuju manakala seorang Ahli Parlimen Tidak Hadir, sekali gus berakhirlah cubaan untuk menjatuhkan kerajaan seperti yang disebutkan oleh Tun Dr Mahathir.

Keadaan ketidaktentuan begini mengingatkan saya kepada kandungan kertas kerja Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai dari Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK) di dalam Konvensyen Setengah Tahun Pentadbiran PN pada 1 September 2020 lalu yang berbunyi begini:

- Advertisement -

“Kerajaan ini mempunyai potensi yang tinggi setelah diwujudkan secara tidak sengaja – sebagai satu hikmah besar dari Allah S.W.T. Ini merupakan julung kalinya sebuah Kerajaan Islam berwibawa dapat berkuasa di Malaysia secara tiba-tiba tanpa dirancang.”

“Walaupun ia berada di dalam kedudukan yang genting seperti telur di hujung tanduk, namun ia mewujudkan satu hikmah mengenai dunia yang fanak (tidak kekal) untuk memastikan setiap pemimpin merasakan ketidakselesaan sehingga masing-masing sentiasa bersiap-sedia untuk menghadapi masa depan yang tidak menentu.”

“Kerajaan ini mempunyai potensi yang sangat besar untuk menjunjung wawasan dan harapan kumpulan majoriti Melayu Islam di Malaysia. Warga Muslim di Malaysia amat mengharapkan bahawa kerajaan ini akan dapat bertahan selama yang mungkin sehingga PRU15 mungkin lebih daripada dua tahun lagi.”

“Warga Muslim mengharapkan kerajaan ini dapat merombak arah dan model kerajaan hari ini bersesuaian dengan sistem Islam dan berupaya mengamalkan sistem ekonomi, perundangan dan sosial Islam yang lebih unggul.”

Saya bersetuju dengan Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai bahawa ada hikmah wujudnya keadaan ketidaktentuan begini kerana ia memaksa setiap pemimpin sentiasa berjaga-jaga bagi memastikan mereka tidak melakukan apa-apa kesilapan yang membabitkan kepentingan rakyat.

Dalam masa yang sama, disebabkan sikap non-partisan Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai, maka kenyataan beliau bahawa ‘warga Muslim di Malaysia amat mengharapkan bahawa kerajaan ini akan dapat bertahan selama yang mungkin’ juga perlulah diberi perhatian sewajarnya.

Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai dan warga Muslim di Malaysia lain yang berkongsi harapan yang sama dengan beliau untuk melihat kerajaan ini akan dapat bertahan selama yang mungkin pastinya merasa amat gembira dengan kelulusan Bacaan Kali Ketiga Bajet 2021.

Kepada para pemimpin parti-parti pembangkang, sudah-sudahlah dengan agenda untuk menjatuhkan kerajaan ini dan sudah-sudahlah dengan cakap-cakap mengenai akuan berkanun (statutory declaration) kerana sudah terbukti kerajaan ini mempunyai majoriti.

DR KAMARUL ZAMAN HAJI YUSOFF – HARAKAHDAILY 15/12/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -