Untuk apa semarak dakwah?

- Advertisement -

PRORAM Semarak Dakwah Sempena Bulan Dakwah dengan tema ‘Melestari Gerakan Dakwah’ oleh YADIM – Fastabiqul Khairat.

Berhasrat untuk mengarus-perdanakan ibadah dakwah sebagaimana ibadat-ibadat yang lain di dalam Islam agar dakwah bukan menjadi hak eksklusif individu, kelompok, golongan dan mana-mana agensi. Semoga masyarakat di pelbagai peringkat menyedari bahawa dakwah adalah tanggungjawab semua dan bersama. Kewajipan yang boleh dilakukan dengan pelbagai wasilah, medium dan cara mengikut kadar kemampuan serta peringkat masing-masing.

Bersama mendidik jiwa supaya tidak hanya mengeluh dan mencemuh, tetapi sentiasa memuhasabah diri mungkinkah maksiat dan mungkar yang berleluasa itu kerana kelemahan kita. Kerana kita yang faham ini lengah. Kerana kita yang sedar ini menangguh-nangguh. Kerana kita yang pandai ini tidak berbuat apa-apa. Atau kerana kita syok dalam lingkungan dan selesa dengan persekitaran kita sendiri sedang mereka makin menjauh di saat kita tidak pula mendekat. Saya maksudkan kita itu adalah kita, untuk muhasabah kita bukan menuding orang lain.

- Advertisement -

Semarak dakwah dilaksanakan juga bagi tujuan menyuburkan dakwah dengan meraikan, mengiktiraf dan menghulur tangan kerjasama dengan semua pihak sama ada kecil atau besar  demi dakwah. Individu, AJK Masjid, KRT, JKKK, Kelab Belia, Kelab Kebajikan Staf, Pengurusan Felda, Mahasiswa, Pejabat Kerajaan, Jabatan Agama, Majlis Ugama, NGO’s, Badan Beruniform dan sesiapa sahaja. Demi Islam dan dakwah.

Bertukar pandangan dan idea untuk sama-sama meneliti dan mengkaji realiti masyarakat dan mencari uslub serta medium yang kreatif selagi tidak bertentangan dengan kaedah syarak. Memberi tumpuan dan perhatian kepada semua ruang dan potensi untuk menarik seramai mungkin umat ijabah kembali kepada Islam yang syumul dan umat dakwah agar kembali kepada fitrah.

Komited untuk meniup semangat dakwah agar terus marak. Sentiasa berminda positif dan optimis dengan masa depan Islam. Menghargai mad’u walaupun seorang. Tidak memandang remeh dengan ruang dan peluang yang boleh membawa kepada pintu hidayah. Tugas kita ialah perbanyakkan dan pelbagaikan peluang, adapun hidayah adalah milik Allah. 

Usaha ini tidak mudah. Ada ketikanya mengundang mengah dan lelah. Pastinya akan ada fitnah dan mehnah. Tapi, bukankah itu adalah sunnah Rasulullah? Apa lagi yang boleh kita buktikan kepada Allah? Sebagai tanda syukur kita di atas nikmat hidayah. Sebagai tanda terima kasih kita di atas nikmat iman dan Islam yang sangat indah. 

Ayuh sahabat, kita semarakkan dakwah!

USTAZ HAZMI DIBOK – HARAKAHDAILY 14/12/2020

- Advertisement -