‘The noisy neighbour’ bernama Pulau Pinang

- Advertisement -

ANDA ada sebuah dusun. Suatu hari, jiran anda datang bertandang dan anda pelawa dia makan buah-buahan dari dusun anda. Sekali itu sahaja anda pelawa dia, dan untuk dimakan pada hari itu sahaja. Rupa rupanya jiran anda jenis tidak tahu malu, tamak haloba pula. 

Berbekal pelawaan anda yang sekali itu, dia jadikan dusun anda seperti dia yang punya. Tidak cukup untuk makan sendiri, dia jual pula buah-buahan dari dusun anda. Modal tiada, untung buta-buta!

Bukan itu sahaja, dia pula mengarahkan anda itu ini — jaga pokok supaya sentiasa sihat, berbuah lebat dan sedap. Dia juga melarang anda jual hasil dusun kepada pihak lain untuk pastikan setiap kali dia datang untuk ‘curi’ hasil dusun anda, buah-buahan itu sentiasa ada.

- Advertisement -

Anda minta dia bahagi sedikit sahaja daripada dia dapat, dia buat tak peduli. ‘Buah-buahan Allah yang buat, bukan hang yang buat.’ Begitulah dia perli anda pada suatu hari.

Sebagai seorang yang budiman, jiran yang baik… Anda cuba mengelak daripada bising-bising. Tetapi sikap jiran yang ultra kiasu tak tahu malu itu semakin hari semakin melampau.

Apabila dengar anda nak buat sesuatu di dusun anda, serata ceruk kampung dia bising hatta kepada Penghulu dan Pengerusi JPKK. Bermacam-macam fitnah disebar mengenai anda, konon anda nak tukar dusun jadi ladang kelapa sawit dan macam-macam.

Kalau anda diam, anda sampai bila-bila akan dibuli oleh dia. Dusun itu hak anda tetapi dia tak peduli. Anda seperti seorang yang tidak ada maruah, malah bacul jika biarkan sahaja dia terus bertindak sesuka hatinya ke atas milik anda yang sah.

Suatu hari anda berbincang dengan isteri anda mengenai apa yang perlu anda lakukan, sama ada halang dia memasuki kawasan dusun anda lagi, atau menuntut bayaran atas segala hasil dusun anda yang dia niagakan.

Dengan tidak semena-mena, seorang daripada anak anda mempersoalkan tindakan anda, menyalahkan anda malah melarang daripada anda mengambil sebarang tindakan ke atas jiran itu. Dia beri alasan, buah yang dicuri dan dijual oleh jiran anda itu daripada Allah, bukan anda, ayahnya yang buat buah itu.

Dia terlupa bahawa selama ini dusun itu milik anda, anda yang tanam dan jaga segala pokok buah-buahan yang ada di situ. Apa anda rasa dengan sikap anak anda sendiri? Ini analogi. Jiran anda itu bernama Pulau Pinang.

MUHAMAD MAT YAKIM
Mahang, Kedah – HARAKAHDAILY 14/12/2020

Sumber asal: https://www.facebook.com/596018318/posts/10159171066973319/

- Advertisement -