Penternak di lokasi PKPD dibantu kerajaan

Foto ZULKIFLI HUSIN
- Advertisement -

PASIR PUTEH: Bukan sahaja manusia yang terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), malah haiwan ternakan turut terjejas.

- Advertisement -

Situasi itu berlaku apabila sebahagian penternak di kawasan yang dikenakan PKPD tidak mendapat bekalan makanan kerana sekatan bagi menyekat penularan wabak Covid-19.

Terdapat tujuh penternak di Kampung Dalam Huma yang terbabit dengan pelaksanaan PKPD.

Berikutan itu, kerajaan negeri menyalur bantuan makanan ternakan menerusi Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB).

Anggota Exco kerajaan negeri, Tuan Saripudin Tuan Ismail berkata,
sebanyak 20 guni bahan makanan setiap satunya seberat 50 kilogram disumbang bagi memastikan kebajikan haiwan ternakan di kawasan terbabit.

Katanya, bantuan itu diagih melalui Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) yang merupakan fasa kedua.

“Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM5,000 untuk membeli bahan makanan lembu, biri-biri dan kambing untuk diberikan kepada penternak secara percuma.

“Tujuh penternak terbabit benar-benar terjejas kerana tidak dapat keluar untuk mencari makanan haiwan peliharaan mereka,” katanya selepas menyaksikan agihan makanan ternakan di Pasir Puteh One Stop Center Agro Farm di Padang Pak Amat di sini hari ini.

Turut hadir Pegawai Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pasir Puteh, Ismail Abdul Rahman dan Sekretariat Pengurusan Bencana Jajahan Kapten (PA) Nik Mohd Nor Nik Mat. – HARAKAHDAILY 14/12/2020

- Advertisement -