Muslimat Pahang hadam mesej Ketua di JELAS

- Advertisement -

KUANTAN: Jelajah Munaqasyah Ucaptama Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia (JELAS) Peringkat Negeri Pahang telah dilangsungkan secara atas talian dengan peserta mengikuti dari premis PAS Kawasan masing-masing.

Seramai 225 peserta dalam kalangan Ahli-ahli Muslimat PAS Kawasan-kawasan seluruh Pahang mengikuti pembentangan menerusi aplikasi Zoom yang disampaikan oleh Setiausaha Muslimat PAS Malaysia, Dr Nurul Hani Ali.

Dalam kupasannya kepada ucaptama bertema ‘Islam Memimpin, Wanita Sejahtera’ itu beliau menegaskan betapa Islam adalah panduan bagi mencapai makna kesejahteraan pada segala aspek kehidupan kaum wanita.

- Advertisement -

Pun begitu akuinya, masih terdapat banyak isu-isu melibatkan kaum wanita di mana prihatin dengan realiti tersebut, Muslimat PAS telah mewujudkan Talian Sejahtera yang memberi perkhidmatan nasihat dalam pelbagai perkara.

Menurutnya, konsultasi menerusi nombor 011-5338-2177 itu dihubungkan pemanggil dengan pakar-pakar dalam bidang seperti kaunseling, bimbingan agama, kesihatan, perundangan serta ‘private care’ dan bantuan lain.

Dr Hani dalam pembentangannya juga berpesan kepada ahli-ahli Muslimat agak meneguhkan hubungan dengan Allah S.W.T agar sentiasa bersemangat dalam gerak kerja jemaah di samping menjadi teladan kepada keluarga.

Terdahulu, Ketua Muslimat PAS Pahang, Ustazah Salamiah Mohd Nor menegaskan peranan ahli-ahli Muslimat selaku penyebar Islam kepada masyarakat terutama maklumat daripada parti yang bukannya untuk disimpan.

Kata beliau yang juga Naib Ketua Muslimat PAS Malaysia, antara medium terkini dalam usaha menyampaikan maklumat adalah kewujudan TV Wanita Sejahtera untuk dimanfaatkan sebarannya kepada masyarakat.

JELAS bertujuan memberi kefahaman mengenai teras terkandung dalam ucaptama tersebut agar diselaraskan sebagai hala tuju bersama Muslimat di semua peringkat yang menjadi tindakan tersusun dan konsisten.

Ianya juga bertujuan menyatukan fikrah dan memastikan jentera parti melaksanakan segala visi, misi dan strategi dewan serta menyuntik motivasi untuk lebih kreatif dan inovatif dalam pelaksanaan gerak kerja. – HARAKAHDAILY 14/12/2020

- Advertisement -