Rantaian makanan halal perlu diberi perhatian

- Advertisement -

KOTA MELAKA : Mufti Melaka, Sahibussamahah Dato’ Wira Abdul Halim Tawil memandang serius berkenaan isu halal membabitkan rantaian bekalan makanan khususnya.

- Advertisement -

Katanya, rantaian bekalan makanan sepatutnya diberi perhatian bermula dari ladang lagi atau dikenali sebagai ‘From Farm To Fork‘ oleh rakyat Malaysia.

Hal ini katanya selari dengan tuntutan Islam suoaya umatnya menitik beratkan makanan halal dan berkualiti terhadap semua lapisan masyarakat.

Jelasnya, beliau amat sedih berhubung isu terbaru membabitkan status halal daging import baru-baru ini.

“Islam bukan sahaja menitik-beratkan bahan makanan halal dan berkualiti untuk orang Islam, malah terhadap semua lapisan masyarakat kerana setiap insan inginkan kepada perkara yang baik dan sihat.

“Pada hari ini, kita mendapati peranan industri halal memainkan peranan yang sangat penting di dalam ekonomi negara kita. Isu terbaru yang melibatkan status halal bagi daging import amat menyedihkan.

“Dengan itu, Komuniti Halal Negeri Melaka telah dilancarkan pada hari ini bagi menambah keyakinan masyarakat serta negara luar terhadap eko-sistem halal Malaysia itu sendiri,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan penutupan majlis Seminar Kesedaran Berkaitan Rantaian Bekalan Halal anjuran HAL Fintech Advisor dan iHalmas (Fakulti Bisnes Dan Pengurusan, UITM Shah Alam) di Lacrista Hotel, di sini, pada Khamis.

Selain itu, Pengerusi Sekretariat Seminar Rantaian Bekalan Halal, Aizuddinur Zakaria pada masa sama turut mengingatkan kepentingan sejarah negeri Melaka sebagai pusat penyebaran dakwah Islam melalui jalan perdagangan.

Katanya, Melaka mempunyai potensi untuk menjadi Koridor Utama Halal di Asia Tenggara berdasarkan nilai pasaran halal hari ini yang sudah mencecah USD2.02 trillion pada tahun 2019 merangkumi industri makanan, farmaseutikal, logistik, kosmetik, pelancongan dan media.

Bahkan, terdapat juga permintaan yang tinggi daripada syarikat luar negara bagi mendapatkan pensijilan halal Malaysia, ujarnya.

Seminar Kesedaran Berkaitan Rantaian Bekalan Halal anjuran bersama Lacrista Hotel, Melaka, Food Panda dan Dewan Perniagaan Melayu Melaka itu julung kalinya diadakan di Melaka.

HAL Fintech merupakan syarikat konsultansi dan latihan yang memberikan solusi terhadap pembangunan ekonomi halal dan sumber manusia mampan melalui konsep smart partnership.

Majlis perasmian penutup itu dihadiri seramai 60 orang terdiri daripada golongan B40, pemain industri dan usahawan mikro yang terjejas akibat Covid-19 serta graduan universiti yang berminat menceburkan diri dalam industri Halal.

Turut hadir dalam seminar sama, Pengarah Urusan LaCrista Hotel Melaka, Dato’ Rothman lbrahim, Timbalan Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Melaka, Rasit Saleh, serta Pengerusi Sekretariat Rantaian Bekalan Makanan Halal, Aizuddinur Zakaria.

Antara pembentang kertas kerja adalah Pengerusi Standard Halal Logistik, Standard; Meteorologi Kerjasama Negara-negara Islam (SMIIC), Dr Harlina Suzana Jaafar dengan tajuk ‘Pergudangan Halal’; Pengarah iHalmas, UITM Shah Alam, Dr Anizah Zainuddin, dengan tajuk ‘Peruncitan Halal’; Pensyarah Fakulti Bisnes dan Pengurusan, UITM Puncak Alam, Ts Azlina Muhammad, dengan tajuk ‘Transport Halal’; dan Eksekutif Halal Food Panda, Nik Aina Nadhirah, dengan tajuk ‘Penghantaran Makanan Halal’ – HARAKAHDAILY 13/12/2020

- Advertisement -