Pencapaian wanita banyak atasi lelaki Malaysia

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Di sebalik penurunan 10 tangga kedudukan Malaysia dalam Indeks Jurang Gender Global 2019 berbanding 2018, wanita negara ini masih mengatasi pencapaian kaum lelaki dalam beberapa perkara.

Timbalan Ketua Muslimat PAS Malaysia, Dr Rosni Adam berkata, terutama skor 1 dalam pendidikan ternyata membanggakan, begitu aspek kesihatan dan kehidupan juga sangat bagus dengan skor 0.958.

“Tetapi yang menyebabkan indeks itu menjunam, turun adalah disebabkan skor terutama sekali dalam bidang penguasaan politik dan juga ekonomi. Tapi ekonomi ini dia tidak ketara sangat, kita masih lagi dalam skor 0.7.

- Advertisement -

“Penguasaan politik itu hanya 0.108. walau bagaimanapun angka 0.108 ini lebih tinggi daripada tahun 2018,” ujar beliau mengulas laporan ‘Statistik Pemerkasaan Wanita Dalam Domain Terpilih’ itu.

Mengupas lanjut beliau berkata, skor pendidikan bermaksud wanita Malaysia rata-ratanya mendapat pendidikan dan tidak buta huruf, serta jauh lebih baik dari negara-negara lain terutama negara umat Islam.

Kemuka beliau, 99.8 peratus wanita Malaysia memasuki sekolah rendah, 75.4 peratus sekolah menengah dan 49.9 peratus ke kolej atau universiti di mana semua pencapaian itu mengatasi peratus kaum lelaki.

Pun begitu ulasnya, skor 0.717 dalam domain ekonomi dengan penglibatan wanita cuma 55 peratus dalam tenaga buruh tidaklah menggambarkan bahawa wanita Malaysia terkebelakang.

Kerana jelas beliau, realiti wanita Malaysia terlibat dalam banyak bidang pekerjaan lain terutama daripada rumah termasuk perniagaan dan ekonomi gig serta pelbagai cabang lain lagi.

Namun, beliau menjangkakan bahawa kaum wanita adalah paling terkesan dalam kadar pengangguran dan pemberhentian kerja berbanding kaum lelaki disebabkan pandemik COVID-19 kini.

Malah, peranan dan sumbangan wanita Malaysia dalam semua domain itu masih menjadi ‘pembantu’ penting kepada kaum lelaki terutama mereka yang sudah berkahwin yakni turut menjadi pencari nafkah keluarga.

“Sangat malanglah sebenarnya kalau wanita (disamatarafkan) untuk mencari nafkah. Itu kena bezakan. Cuma kita harap penglibatan wanita dalam ekonomi memang patut digalakkan, patut ditingkatkan, tetapi tidak boleh ‘menggantikan’ kaum lelaki.

“Sebab lelaki ataupun suami itu (bertanggungjawab) sebagai pencari nafkah. Itulah sebab, banyak masalah-masalah yang berkaitan dengan wanita ini adalah disebabkan nafkah itu sendiri,” hurainya lebih luas.

Mengakui penguasaan politik kaum wanita Malaysia masih rendah, beliau bagaimanapun melihat bahawa nilai indeks tersebut mengukur berdasarkan bilangan terlibat menjawat jawatan sebagai Menteri, Ahli Parlimen dan ADUN serta Senator.

Sedangkan jelas beliau, untuk ke jawatan-jawatan tersebut perlu melalui proses penglibatan dan memenangi pilihan raya atau lantikan dewan, sekali gus bermakna peluang bertanding dan dilantik itu mesti diberi peluang.

“Jadi wajarlah sebenarnya setiap parti politik tak kira, termasuk PAS juga memberi lebih peluang kepada wanita untuk menjadi calon dalam pilihan raya. Bila menjadi calon dalam pilihan raya, barulah kebarangkalian mereka ini dilantik menjadi MP dan juga ADUN ataupun Menteri dan sebagainya, baru ada peluang itu.

“Kalau pada peringkat asas sekalipun, jadi calon pilihan raya pun tak dapat, apatah lagi untuk ke jawatan-jawatan tersebut,” ujar doktor pergigian yang pernah bertanding di Parlimen Bandar Tun Razak.

Menurut beliau, kesediaan membenarkan wanita bertanding juga terletak pada kesediaan ijtihad ulamak di mana 15.7 juta atau 48 peratus rakyat Malaysia adalah terdiri daripada kaum wanita.

Cadangnya, permulaan kepada usaha itu mungkin dapat dilakukan dengan meletakkan polisi mengenai peratus penglibatan kaum wanita dalam politik bermula pada satu angka sebelum ke 30 peratus seperti disuarakan sebelum ini.

Dr Rosni turut mencadangkan agar Malaysia mempunyai indeksnya sendiri mengikut neraca Islam yang memberi hak dan mengiktiraf wanita dalam pelbagai bidang kehidupan. – HARAKAHDAILY 13/12/2020

- Advertisement -