Bayaran air mentah: Pulau Pinang jangan lepas tangan

- Advertisement -

LEMBAGA Sumber Air Negeri Kedah (LSANK) menyokong penuh kenyataan yang dikeluarkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Kedah berkaitan tuntutan harga air mentah daripada Sungai Muda kepada Pulau Pinang.

Walaupun PBAPP menyatakan air yang diabstrak adalah di Sungai Muda adalah dari bahagian Negeri Pulau Pinang, namun tidak dapat dinafikan bahawa kawasan tadahan Ulu Muda yang membekalkan sumber air mentah melalui Sungai Muda kepada Negeri Pulau Pinang terletak di Negeri Kedah.

- Advertisement -

Selain itu, kos penyelenggaraan sepanjang sungai yang merentasi daerah-daerah di Negeri Kedah perlu diambilkira kerana kos ini ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Kedah.

Kerajaan Negeri Kedah telah mendapati wujudnya berbagai galian berharga termasuk ‘Rare Earth Element’ atau REE yang ditemui di Ulu Muda merupakan suatu bentuk galian mineral untuk menjana hasil baharu kepada Kerajaan Negeri Kedah. 

Justeru, semua pihak perlu menghormati dan tidak campur tangan dalam hal ehwal dalaman dan hak Kedah yang boleh dimanfaatkan demi faedah negeri dan rakyat Kedah.

Perjanjian bagi meluluskan Program Bekalan Air Pulau Pinang dan pewartaan enakmen negeri yang meletakkan sempadan negeri di ‘garis pusat’ Sungai Muda bagi menjamin bekalan air telah berusia 35 tahun.

Walaupun pada ketika itu, tiada caj dinyatakan, namun jika merujuk kepada asas pertimbangan ‘demand & supply’ bekalan air pada ketika itu dan masa kini, ianya patut disemak dan dikaji semula.

Tambahan pula, pada waktu itu Lembaga Sumber Air Negeri Kedah masih belum wujud. Ianya telah ditubuhkan selaras dengan kehendak Akta Industri Perkhidmatan Air (WSIA) 2006 yang diluluskan di Parlimen sebagai agensi yang bertanggungjawab terhadap kawal selia dan kelestarian sumber air. Begitu juga, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) yang diwujudkan dengan kehendak akta tersebut. Oleh itu, perkara-perkara penting berkaitan pengekalan sumber air perlu untuk diberi perhatian semula. 

Selain itu, akibat daripada perluasan kawasan dan perebakan pembangunan hari ini, telah menyebabkan keperluan dan permintaan bekalan air terawat telah meningkat dengan mendadak dan ini memaksa kepada jaminan sumber air mentah perlu sentiasa mencukupi dan tersedia. 

Oleh yang demikian, kos untuk mengekalkan sumber air mentah perlu dipertingkatkan dan diberi perhatian serius, di mana agensi utiliti berkaitan air perlu menyokong tujuan tersebut melalui kenaan caj kos air mentah yang diabstrak dari sungai asal agar ianya dapat menampung keperluan tersebut.

Lembaga Sumber Air Negeri Kedah telah mengenakan caj pengabstrakan air mentah kepada Syarikat Air Darul Aman Sdn. Bhd. bagi setiap meter padu untuk kegunaan pembekalan air terawat kepada rakyat di Negeri Kedah.

Sehubungan itu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang sewajarnya menjelaskan bayaran caj yang sama atas pengabstrakan sumber air mentah yang berasal dari Negeri Kedah. Tujuannya adalah bagi mengekalkan kawasan tadahan air sebagai kawasan tadahan termasuk kos penyenggaraan dan pemuliharaan sepanjang Sungai Muda yang akan berkeupayaan untuk menjamin bekalan air mentah yang berterusan serta mencukupi bagi keperluan rakyat di Negeri Kedah.

NOORULHUDA MOHAMMED ALI, AMK., BCK.
Pengarah Lembaga Sumber Air Negeri Kedah – HARAKAHDAILY 12/12/2020

- Advertisement -